AKPS tahan 10 kontena berisi e-waste, logam sekerap

Iklan
Pegawai operasi menjalankan pemeriksaan ke atas kontena yang ditahan di Pelabuhan Barat, Klang pada Jumaat. Foto AKPS

PELABUHAN KLANG - Cubaan membawa masuk 10 kontena mengandungi campuran sisa elektronik (e-waste) dan logam sekerap melalui Pelabuhan Barat di sini berjaya digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada Jumaat.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan kira-kira jam 9 pagi ke atas 15 kontena yang sebelum itu ditahan petugas mesin pengimbas kontena.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan itu turut disertai SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

"Hasil pemeriksaan mendapati 10 kontena berisi campuran e-waste seberat 245,780 kilogram.

Iklan

"Kesemua kontena masuk ke dalam negara pada Disember 2024, Mei dan Julai 2025," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kemasukan Bahan Buangan Terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Iklan

Katanya, semua kontena terbabit akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS bagi tujuan pengeksportan semula.

"AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang," ujarnya.

Beliau menegaskan, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.