ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Dua daripada tujuh individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam didapati mempunyai kesan rembesan tembakan atau gunshot residue (GSR).
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, kesan berkenaan dikesan hasil ujian forensik yang dijalankan ke atas suspek selepas mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan pada Rabu.
Menurutnya, siasatan turut mendapati kesan GSR itu bukan sahaja ditemui pada tubuh dua suspek, malah dikesan pada kunci serta topi keledar motosikal yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Walaupun senjata api yang digunakan masih belum ditemui, penemuan kesan GSR ini merupakan antara bukti penting dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Siasatan juga mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk memiliki sebarang senjata api,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Jumaat.
Dalam operasi bermula jam 10.30 pagi hingga 6 petang itu, polis menahan enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun.
Adzli berkata, pasangan suami isteri yang tinggal di Bukit Kayu Hitam turut ditahan di kawasan pemeriksaan pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada jam 12.30 tengah hari dan disyaki cuba melarikan diri ke negara jiran.
“Hasil semakan mendapati empat daripada tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan berat,” ujarnya.
Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas dua motosikal jenis Yamaha dan Honda, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta lima set pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Kesemua suspek direman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan, manakala wanita berusia lingkungan 30-an itu direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan dirinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Pada Rabu lalu, media melaporkan kenderaan Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak kira-kira jam 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Dua lelaki bermotosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik sebelum melarikan diri.
Sehari selepas kejadian, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan suspek utama berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.