Pelan keselamatan dalam talian perkukuh perlindungan kanak-kanak

Iklan
Tanpa garis panduan yang jelas, ramai kanak-kanak dan remaja terdedah kepada kandungan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.

KUALA LUMPUR - Keselamatan dalam talian (online) di Malaysia kini diperkukuh dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Rakyat Malaysia kini boleh menjangkakan persekitaran online yang lebih selamat dengan kewujudan ONSA yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Iklan
Iklan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merangka langkah lebih tegas bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital menerusi Pelan Keselamatan Dalam Talian atau Online Safety Plan (OSP), selaras dengan pelaksanaan ONSA.

Menerusi dokumen perundingan awam mengenai OSP yang diterbitkan pada 12 Februari 2026, aspek perlindungan kanak-kanak diberi penekanan khusus sebagai komponen penting dalam memastikan keselamatan pengguna rentan di Internet.

Iklan

Menurut MCMC, kewajipan perlindungan kanak-kanak diperuntukkan di bawah Seksyen 18 ONSA dan akan dilaksanakan melalui satu Kod Tugas Berkaitan Perlindungan Kanak-kanak yang kini dalam proses rundingan awam.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan penyelarasan serta mengelakkan pertindihan atau keperluan yang bercanggah terhadap penyedia berkhidmat berlesen,” menurut dokumen tersebut.

Iklan

Langkah berkenaan dijangka mewajibkan platform digital mengambil tanggungjawab lebih proaktif dalam melindungi kanak-kanak daripada pendedahan kepada kandungan berbahaya, eksploitasi dalam talian serta interaksi berisiko.

OSP diperkenalkan sebagai pelan pematuhan berstruktur yang perlu disediakan, diterbitkan dan diserahkan oleh penyedia perkhidmatan berlesen kepada MCMC bagi menunjukkan bagaimana langkah keselamatan dilaksanakan.

Selain perlindungan kanak-kanak, pelan tersebut turut merangkumi komponen lain seperti pengurusan kandungan, pengurangan risiko, pemerkasaan pengguna, ketelusan serta tadbir urus.

MCMC turut menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak dalam talian memerlukan pendekatan sistematik dan bersepadu, sejajar dengan peningkatan risiko digital yang semakin kompleks.

Dalam konteks semasa, isu penggunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah umur 16 tahun turut menjadi perhatian.

Di bawah ONSA, platform digital diwajibkan memastikan pengguna bawah 16 tahun tidak mengendalikan akaun bagi mengelakkan pendedahan awal kepada risiko siber, termasuk buli, eksploitasi dan penipuan.

Elak eksploitasi kanak-kanak

Sementara itu, OSP  disifatkan sebagai langkah penting dalam melindungi kesejahteraan emosi dan perkembangan psikologi kanak-kanak daripada ancaman digital, termasuk buli siber dan eksploitasi dalam talian, selaras dengan objektif ONSA.

Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli berkata, tanpa garis panduan yang jelas, ramai kanak-kanak dan remaja terdedah kepada kandungan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.

DR NOOR AISHAH

Menurutnya, secara klinikal, kes berkaitan buli siber dan eksploitasi digital boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kebimbangan, kemurungan, trauma serta kecenderungan menjadi antisosial.

“Tanpa OSP, ramai remaja berdepan masalah anxiety, depression dan trauma akibat pendedahan berlebihan kepada dunia digital. OSP membantu menapis kandungan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan emosi dan tingkah laku kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, pelan tersebut juga berperanan sebagai mekanisme penguatkuasaan serta bantuan kepada mangsa buli siber, selain meningkatkan literasi digital dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak.

OSP diperkenalkan sebagai pelan pematuhan berstruktur yang perlu disediakan, diterbitkan dan diserahkan oleh penyedia perkhidmatan berlesen kepada MCMC.

Dr Noor Aishah menjelaskan, cadangan menghadkan penggunaan media sosial kepada golongan bawah umur turut memberi manfaat dari sudut perkembangan emosi dan sosial.

“Kanak-kanak perlu belajar mengurus konflik secara bersemuka terlebih dahulu sebelum berdepan konflik di alam digital. Had umur juga membantu mengelakkan ketagihan media sosial serta memberi ruang untuk aktiviti fizikal dan fokus akademik,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan ibu bapa dan sekolah amat kritikal untuk memastikan keberkesanan langkah tersebut.

“Ibu bapa perlu memantau dan mengawal penggunaan gajet secara bijak, bukan sekadar melarang. Komunikasi yang baik dan pendidikan keselamatan digital sejak kecil sangat penting,” katanya.

Menurutnya, sekolah juga boleh memainkan peranan melalui program literasi digital, kempen kesedaran dan intervensi berkaitan buli siber.

Dr Noor Aishah turut menasihatkan ibu bapa supaya menjadi contoh kepada anak-anak dengan mengurangkan kebergantungan kepada gajet serta mewujudkan zon tanpa peranti di rumah.

“Kita perlu bina persekitaran positif dan memberi peluang kepada anak-anak menjalani aktiviti fizikal serta interaksi sebenar agar perkembangan mereka lebih sihat,” katanya.