Polis buru individu salah guna imej AI Agong perdaya orang ramai

Iklan
Ab Rahaman

JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima satu laporan berhubung penyalahgunaan imej dan video Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan memperdaya orang ramai.

Ketua Polis Johor, Asisten Komisioner Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan itu dibuat pada 25 Februari 2026 selepas seorang pengadu menonton kandungan video berkenaan di aplikasi media sosial TikTok.

Iklan
Iklan

Menurutnya, video tersebut memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong kononnya memaklumkan mengenai pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai, sedangkan kandungan itu adalah palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi AI.

“Siasatan awal mendapati akaun TikTok terbabit dipercayai palsu dan diwujudkan khusus untuk memuat naik video tersebut bagi tujuan penipuan, sekali gus mencemarkan imej Institusi Diraja,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa akaun lain yang menggunakan modus operandi sama dengan menyalahgunakan teknologi AI melibatkan individu atau personaliti berprofil tinggi (VIP) bagi mendapatkan kepercayaan orang ramai.

"Perbuatan memuat naik kandungan sedemikian merupakan satu kesalahan dan boleh disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Iklan

“Setakat ini, belum ada mangsa dikenal pasti dan tiada kerugian kewangan dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, Polis Johor bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun terlibat dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menurunkan kandungan berkenaan dengan segera.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang imej atau video tidak rasmi yang mencurigakan di media sosial serta hanya merujuk maklumat sah melalui saluran rasmi Istana dan Kerajaan Negeri Johor," ujarnya.