SUHU pertembungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Timbalan Presiden partinya, Datuk Seri Rafizi Ramli hakikatnya semakin memuncak.
Perkara itu diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Pandan itu apabila beliau dilihat semakin berpatah arang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti tahun lalu.
Pernah dilabel sebagai 'panadol' Kerajaan Perpaduan oleh Anwar, siapa sangka Rafizi pada hari ini dianggap 'duri dalam daging' terbesar Menteri Kewangan itu.
Kini, beliau seolah-olah mengambil alih peranan pemimpin 'de facto' pembangkang apabila konsisten menjadi pengkritik tegar terhadap Anwar dan Kerajaan Madani.
Rafizi bersama beberapa ahli Parlimen PKR yang menyokongnya turut lantang membangkitkan isu kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan bekas Setiausaha Politik Anwar, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador sehingga kini.
Bahkan Rafizi secara terbuka menegaskan PKR bukan lagi dianggap 'rumah' baginya kerana parti itu didakwa berubah selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar mengakui, pertembungan terbuka antara kedua-dua tokoh berkenaan sukar dipulihkan dan berpotensi menjadi 'bom jangka' yang boleh menggugat kestabilan PKR serta kelangsungan Anwar sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Menurutnya, pendekatan keras kedua-dua pihak memperlihatkan tiada ruang perdamaian, malah kenyataan terbuka yang saling berbalas hanya mengukuhkan persepsi bahawa hubungan itu sudah 'berpatah arang, berkerat rotan'.
"Rafizi kini dilihat tidak lagi menjawab sebagai pemimpin parti, sebaliknya membina gelombang sokongan peribadi.
"Jika gelombang itu diterima rakyat, tidak mustahil beliau bertanding Bebas atau menubuhkan entiti baharu.
"Lebih parah, Rafizi mempunyai kemampuan mengalihkan sokongan pengundi bukan Melayu yang ketika ini dilihat semakin terhakis kepercayaan terhadap agenda reformasi yang cuba dijanji DAP dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Sinar Harian.
Hisomudin berkata, langkah sedemikian akan menambah kerencaman politik, khususnya di kerusi campuran dan bandar yang menjadi kekuatan PH.
Dengan isu reformasi institusi, integriti dan akauntabiliti yang kembali diangkat Rafizi, ia berpotensi mengganggu cengkaman PH dalam segmen pengundi muda, berpendidikan dan kelas menengah bandar.
“Jika tidak ditangani secara berhemah, ia boleh memakan diri kepimpinan kerajaan. Dalam politik bandar, persepsi sangat penting,” ujarnya.
Di sebalik kempen gelombang penolakan Anwar oleh Rafizi semakin kritikal, Hisomudin tidak menganggap Presiden PKR itu sudah hilang kawalan ke atas parti sendiri dan PH.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kegagalan Anwar memanfaatkan platform Majlis Presiden PH dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk membincangkan isu kontroversi seperti kuil dan Azam secara serius menyebabkan beliau seolah-olah dilihat sedang ditekan Rafizi, DAP mahu pun UMNO secara berterusan.
"Saya tidak anggap beliau (Anwar) hilang kawalan. Tetapi kebanyakan keputusan dibuat di peringkat Kabinet.
"Dalam situasi tertentu, kerajaan perlu bincang di peringkat parti atau Majlis Presiden. Forum Kerajaan Perpaduan sepatutnya main peranan lebih efektif," katanya.
Intelektual
Bagaimanapun, Pengasas Pertubuhan Generasi Keadilan, Yusmadi Yusoff melihat situasi itu dari sudut berbeza.
Menurut beliau, PKR yang telah melalui lebih dua dekad perjuangan lazimnya mampu bertahan daripada krisis dalaman dan terbukti ketahanannya sebelum ini.
Beliau turut berpendapat, Rafizi memfokuskan kemampuan dan pengaruhnya kepada titik tumpuan yang salah apabila beliau dilihat lebih suka menyentuh polemik dalaman parti berbanding agenda reformasi rakyat.
"Rafizi ada pengaruh dan kepintaran tersendiri.
"Tetapi beliau hanya akan kekal menang di Pandan pada PRU16 bukan dengan mengkritik Anwar, sebaliknya dengan menggandakan kerja-kerja untuk rakyat,” katanya.
Yusmadi pada masa sama turut memuji pendekatan Anwar yang tidak memberikan respons secara langsung terhadap Rafizi, sebaliknya lebih fokus menyelesaikan pelbagai agenda rakyat yang sepatutnya sudah lama diselesaikan kerajaan terdahulu.,
"Bagi saya, ciri-ciri pemimpin betul ialah pemimpin yang selalu meletakkan keutamaan betul, yang mana keutamaan itu selalu melangkaui kepentingan peribadi.
"Sekarang pendekatan Perdana Menteri terbukti membuahkan kejayaan besar apabila ringgit dan ekonomi negara makin bertambah baik serta Malaysia kembali di radar antarabangsa," jelasnya.
Pada masa sama, Yusmadi turut menyarankan agar Rafizi memanfaatkan kapasiti intelektualnya di peringkat antarabangsa.
"Beliau berpotensi jadi tokoh global, champion isu-isu besar dunia. Jangan terperangkap dalam politik kecil,” tambahnya.
Penjelasan
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Min berpandangan Rafizi wajar bertanggungjawab terhadap setiap dakwaan yang dibangkitkan termasuk isu melibatkan syarikat Invoke Solution Sdn Bhd dan pertikaian dengan pempengaruh Caprice.
Menurut Bryan, dalam isu membabitkan Azam, Rafizi berterusan menuntut penjelasan, namun apabila terdapat dakwaan dikemukakan terhadap dirinya, reaksi yang diberikan bersifat defensif dan tidak disertakan bukti.
Menjelang PRU16, sejauh mana konflik ini dapat diredakan bakal menentukan sama ada ia sekadar riak dalaman atau menjadi pencetus retakan besar dalam PH.