SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) membuka ruang untuk membina semula keyakinan rakyat melalui pengukuhan institusi dan budaya integriti.
Pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, tokoh pemimpin berimej bersih, sederhana dan profesional menjadi simbol usaha memulihkan kepercayaan awam.
Menurut beliau, pemilihan Ahmad Samsuri atau mesra dipanggil sebagai Dr Sam bukan sekadar pertukaran jawatan sebaliknya mencerminkan peralihan generasi dan pendekatan kepimpinan lebih teknokrat serta berasaskan prestasi.
"Pelantikan ini berpotensi memperluas daya tarikan kepada segmen pengundi yang mahukan kepimpinan lebih sederhana dan profesional.
"Dr Sam tampil dengan imej relatif bersih daripada kontroversi besar atau kes mahkamah satu kelebihan penting dalam landskap politik yang sensitif terhadap isu integriti," katanya kepada Sinar Harian.
Nur Ayuni berkata, apabila penilaian positif datang daripada spektrum berbeza termasuk lawan politik dan penganalisis bebas ia memberi isyarat bahawa pelantikan itu mempunyai makna yang melangkaui kepentingan dalaman parti.
Menerajui Terengganu sejak 2018, beliau berkata, Ahmad Samsuri mengemudi pentadbiran negeri dalam keadaan berdepan kekangan hasil dan tuntutan pembangunan yang kompleks namun, pentadbiran negeri itu kekal stabil tanpa dikaitkan skandal besar.
"Pengalaman ini bersifat substantif kerana lahir daripada tanggungjawab sebenar membuat keputusan dan mengimbangi keperluan pembangunan dengan kestabilan sosial.
"Selain itu, latar belakang akademik beliau menjadi nilai tambah signifikan dan beliau berada pada tahap sesuai untuk memikul tanggungjawab lebih besar," katanya.
Penganalisis politik itu turut menyifatkan Dr Sam bukan produk politik sensasi malah sukar dijadikan sasaran serangan peribadi berikutan naratif yang dibawanya memperlihatkan bahawa politik tidak perlu bising untuk berkesan, dan kepimpinan tidak perlu flamboyan untuk diyakini.