DUNIA hari ini memang pelik. Benda yang dulu mustahil, kini tidak lagi di zaman ini. Kelmarin, seorang kawan Merak Jalanan tunjuk muka ceria dan bangga.
Ingatkan dia menang cabutan bertuah, rupanya dia baru saja ‘rembat’ sehelai seluar kargo di Tiktik Shop dengan harga satu sen saja. Ya, 1 sen! Nilai yang kalau jatuh di celah kusyen kereta pun kita malas nak cari.
Selepas saiz dan material semuanya ngam, kawan Merak Jalanan itu repeat order dan harga yang dibeli masih murah iaitu sehelai RM16 sahaja.
Bagi Merak Jalanan, ini adalah kemenangan besar buat poket rakyat marhaen. Hikmahnya jelas dalam keadaan kos sara hidup yang mencengkam, akses kepada barangan murah sebegini dilihat sebagai talian hayat.
Ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk memenuhi keperluan asas tanpa perlu mengikat perut.
Secara psikologinya, 'kejayaan' memburu barang pada harga tidak masuk akal ini memberikan kepuasan luar biasa, seolah-olah kita berjaya menewaskan sistem ekonomi yang serba mahal.
Namun, di sebalik senyuman itu, ada natijah pahit yang sedang menanti peniaga tempatan kita.
Bayangkan bagaimana peniaga di pasar pagi atau pasar malam mahu bersaing jika harga jualan pun tidak lepas kos benang.
Lambakan barang dari luar negara dengan subsidi logistik melampau secara perlahan-lahan membunuh ekosistem usahawan tempatan.
Apabila kita terlalu memuja harga sen-sen, aliran tunai kita sebenarnya sedang mengalir deras ke luar.
Kita mungkin bangga menyarung seluar harga seposen, tapi janganlah sampai suatu hari nanti, kedai kawan sebelah rumah terpaksa gulung tikar hanya kerana kita terlalu asyik mengejar harga murah yang tidak masuk akal.