Diet konon, tapi berbuka macam makan kenduri

Iklan
Hari pertama Ramadan dah buat dua perkara yang tak sepatutnya. Pertama, membazir. Kedua, tamak bila membeli ikut nafsu bukan keperluan. Gambar hiasan

SEMALAM hari pertama kita berpuasa dan Merak Jalanan harapkan yang baik-baik untuk semua.

Ragam pertama sambutan Ramadan pada Merak Jalanan macam biasa. Sama seperti setiap tahun, hari pertama tarawih, penuh masjid. Tapi Merak Jalanan ada satu kisah nak dikongsikan tentang rakan yang jadi semangat nak kurus sebelum raya.

Iklan
Iklan

Siap buat pelan makan, kira kalori dan berjanji nak kurangkan makanan berminyak. Merak Jalanan dengar pun kagum. Nampak macam azam kali ini lebih serius daripada tahun sebelumnya.

Tapi belum sempat pun semangat itu panas, hari pertama Ramadan sudah terbabas.

Iklan

Petang semalam, dia ajak Merak Jalanan ke bazar Seksyen 13. Katanya sekadar tengok-tengok tetapi apabila sampai, lain pula jadinya.

Dari satu gerai ke satu gerai, semua nampak sedap. Air manis ambil dua jenis, kuih beli empat bekas, lauk pula macam nak jamu satu keluarga besar.

Iklan

Merak Jalanan tengok plastik di tangan dia makin bertambah, azam diet pula makin menghilang. Bila ditanya, dia cuma gelak. “Puasakan, lapar.”

Masalahnya, bila berbuka, separuh pun tak habis. Meja penuh macam kenduri tetapi mana mungkin semua juadah yang dibeli dapat dihabiskan. Baki makanan mula tersusun dalam peti sejuk dan ada juga yang terus masuk tong.

Merak Jalanan pun pening. Hari pertama Ramadan dah buat dua perkara yang tak sepatutnya. Pertama, membazir. Kedua, tamak bila membeli ikut nafsu bukan keperluan.

Azam nak kurus entah ke mana, yang jelas selera lebih laju ikut hawa nafsu. Nampaknya setiap tahun cerita sama berulang. Siang berazam nak kurus, petang berazam nak rasa semua. Akhirnya, dah nak raya baru menyesal tak dapat pasang badan.