ATLET ski gaya bebas kelahiran Amerika Syarikat (AS), Eileen Gu sekali lagi menjadi tumpuan media global selepas menepis kritikan Timbalan Presiden AS, JD Vance mengenai keputusannya beraksi untuk China pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milano-Cortina, Itali yang berakhir Ahad lalu.
Eileen, 22, yang lahir dan dibesarkan di California, mengakui kemenangan dan prestasinya telah mencetuskan perdebatan hangat di AS.
“Oh terharunya saya, terima kasih JD,” katanya dengan nada berseloroh ketika diminta mengulas kenyataan Vance yang berharap atlet kelahiran AS akan mewakili negara sendiri.
Kritikan terhadap Eileen atau lebih dikenali sebagai Gu Ailing di China bukan sahaja datang daripada politikus.
Bekas pemain NBA, Enes Kanter Freedom dalam temubual dengan Fox News, menuduh beliau sebagai pengkhianat kerana memilih China.
Menurut Freedom, Eileen membina nama dan populariti di AS sebelum memilih mewakili negara yang dianggap rejim autoritarian dan dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
“Dia dilahirkan di Amerika, dibesarkan di Amerika dan memilih bersaing menentang negaranya sendiri untuk China, salah satu pelaku hak asasi manusia paling buruk di dunia,” kata Kanter.
Tak melatah
Eileen menegaskan beliau tidak berasa tergugat oleh tuduhan itu.
“Ramai atlet beraksi untuk negara lain... orang hanya ada masalah dengan saya kerana mereka memandang China secara monolitik dan membenci China.
“Ia bukan tentang saya secara peribadi,” katanya. Malah, menurutnya, kecemerlangan dan kemenangan beliau dalam sukan menjadi pemangkin kepada kritikan tersebut.
Selain tekanan politik, Eileen turut berkongsi pengalaman menakutkan yang berlaku di kampus universiti Stanford.
Beliau mendedahkan pernah diserang secara fizikal pada siang hari oleh individu luar dan turut mengalami kecurian di asramanya.
“Itu agak serius, ya,” katanya, menegaskan cabaran keselamatan fizikal turut menjadi sebahagian tekanan yang dihadapinya.
Pilih negara kelahiran ibu
Sebelum ini, Eileen pernah mewakili AS di peringkat junior sebelum memilih China, tanah air ibunya pada 2019.
Di Olimpik Beijing 2022, beliau memenangi dua emas dalam big air dan halfpipe serta satu perak dalam slopestyle.
Di Milano-Cortina 2026, beliau hampir tersingkir selepas jatuh pada larian pertama kelayakan halfpipe.
Namun, dengan mental yang kuat, Eileen melonjakkan catatan 86.5 pada larian kedua untuk menduduki tempat kelima dan layak ke final, di mana beliau mengekalkan kejuaraan halfpipe dengan emas, sekali gus mengulangi pencapaian di Beijing.
Kemenangan itu menjadikan Eileen atlet ski gaya bebas paling berjaya dalam sejarah Olimpik.
“Saya kini atlet sli gaya bebas paling berjaya sepanjang masa, lelaki atau wanita dengan jumlah emas terbanyak.
“Itu sesuatu yang saya amat banggakan,” katanya kepada The Independent.
Di sebalik kecantikan, kekayaan dan bakat luar biasa, Eileen tetap dilabel pengkhianat oleh sebahagian pihak di negara kelahirannya.
Namun bagi beliau, prestasi dan emas Olimpik adalah 'pembalasan terindah' kepada segala kontroversi dan kritikan.