BEKAS penyerang sensasi Liverpool, Emile Heskey telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk mengisi tempat Mohamed Salah, dan meletakkan tonggak lincah Paris Saint-Germain (PSG), Khvicha Kvaratskhelia sebagai 'pilihan utamanya'.
Bintang kelahiran Mesir itu telah menandatangani kontrak lanjutan dua tahun untuk kekal di Anfield pada musim panas lalu.
Namun, usianya yang kini menjangkau 30-an mula menampakkan sedikit isyarat kemerosotan prestasi pada musim ini.
Malah, ketegangan yang berlaku pada pertengahan kempen turut mencetuskan spekulasi bahawa ini mungkin musim terakhirnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Salah mempunyai rekod jaringan yang cukup prolifik dan kini dianggap antara pemain terhebat dalam sejarah The Reds, namun kelab itu perlu mula mencari penggantinya dalam masa terdekat.
Walaupun sumbangannya musim ini agak suram jika dibandingkan dengan kempen-kempen sebelum ini, ketiadaannya pasti akan meninggalkan kekosongan yang sangat besar buat pasukan.
Kvaratskhelia pula telah memberi impak luar biasa di Paris dengan membantu PSG menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu walaupun baru sahaja berpindah dari Napoli lebih setahun yang lalu.
Heskey melihat bintang Georgia itu sebagai pengganti ideal, selain turut menyenaraikan kapten West Ham, Jarrod Bowen dalam radar pilihannya.
"Apabila kita bercakap tentang mencari pengganti Mohamed Salah, saya fikir penyokong perlu bersedia melihat sesuatu yang berbeza kerana anda tidak boleh menggantikan pemain seperti Mo (Salah).
"Saya masih ingat satu musim ketika saya bersembang dengan seseorang yang mengkritik Mo sedang mengharungi musim yang buruk. Hakikatnya ketika itu, dia sudah pun menjaringkan 25 gol! Saya teringin untuk memiliki musim 'buruk' seperti itu. Kita sedang bercakap tentang seorang pemain yang mampu meledak lebih 20 hingga 30 gol semusim selama 10 tahun.
"Saya tidak fikir anda mampu mencari ganti Mo Salah, tetapi saya sangat suka pemain muda dari PSG itu, Khvicha Kvaratskhelia. Dia akan menjadi pilihan utama saya.
"Adakah tahap Jarrod Bowen lebih rendah berbanding Salah? Saya rasa kebanyakan pemain akan nampak 'rendah' jika dibandingkan dengan Salah, tetapi sejujurnya Bowen adalah jenis pemain yang berbeza. Dia mungkin akan lebih membantu dalam soal formasi kerana dia rajin bekerja keras di atas padang berbanding Mo," ujarnya.
Dalam pada itu, Heskey turut menamakan bekas pemain Chelsea yang kini menyarung jersi AC Milan, Christian Pulisic sebagai sasaran berpotensi, walaupun dia sebelum ini dilihat gagal mempamerkan aksi konsisten di England.
Walaupun pernah mencipta beberapa momen indah di Stamford Bridge, The Blues akhirnya melepaskan pemain itu ke Itali. Namun, Heskey percaya Pulisic kini mempunyai keazaman tinggi untuk membuktikan dia masih mampu menyinar di pentas bola sepak Inggeris.
"Secara peribadi, saya agak sukakan Christian Pulisic. Corak permainannya sangat terus (direct). Dia mungkin tidak menjaringkan banyak gol seperti yang saya harapkan ketika di Chelsea, tetapi dia sentiasa memberi masalah kepada benteng pertahanan lawan.
"Sudah tentu selepas kempen Piala Dunia yang baik, dia adalah antara individu yang boleh menawarkan dimensi berbeza berbanding Mohamed Salah atau pun Cody Gakpo ketika ini.
"Mo sebelum ini meninggalkan Chelsea untuk ke Itali dan lihatlah apa yang dia lakukan untuk Liverpool sekarang. Saya fikir sangat menarik jika kita dapat melihat pemain seperti Pulisic kembali ke kancah EPL menggunakan laluan yang sama.
"Saya pasti dia mahu buktikan bahawa kegagalannya di Chelsea hanyalah satu fasa suram yang singkat. Apatah lagi ketika dia mula-mula datang (ke Chelsea) dahulu, dia hanyalah seorang pemain muda," jelasnya.