SHAH ALAM - Petugas media yang bekerja di kawasan berisiko diingatkan supaya mengutamakan protokol keselamatan ketat susulan insiden lima pengamal media Indonesia dilaporkan terputus hubungan ketika membuat liputan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, langkah itu penting bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Menurut beliau, insiden tersebut juga menjadi peringatan besar tentang risiko tinggi serta pengorbanan yang terpaksa dihadapi oleh pengamal media demi menyampaikan berita sahih dari kawasan bencana.
"ISWAMI menzahirkan rasa amat prihatin dan simpati yang mendalam berhubung insiden kehilangan lima petugas media Indonesia yang dilaporkan terputus hubungan sejak 8 September lalu ketika menjalankan tugas liputan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di sekitar perairan Selat Sunda.
"Kami di ISWAMI memantau rapat perkembangan misi mencari dan menyelamat (SAR) ini. Seluruh komuniti media di Malaysia bersimpati dengan rakan sejawat di Indonesia dalam menempuhi detik berkenaan.
"Doa serta ingatan kami sentiasa mengiringi kelima-lima rakan media iaitu Muhammad Bagus Khoirunnas dari Antara, Arie Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews), Firdaus Wajidi (Anadolu Agency) dan Donal Husni (wartawan bebas), serta tiga kru kapal yang bersama mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banten, Al Amrad pada 8 September lalu dilapor berkata, lima petugas media Indonesia dilaporkan terputus hubungan ketika membuat liputan mengenai aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di sekitar Pulau Sebesi, Lampung, selatan Sumatera, tidak jauh dari gunung berapi berkenaan.
Menurutnya, pasukan SAR gabungan masih menjalankan operasi pencarian secara intensif bagi mengesan kesemua petugas media berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zaini berkata, sebagai sebuah badan yang mendasari semangat setiakawan dan persaudaraan wartawan serantau, ISWAMI akan terus memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa serta organisasi media terlibat.
Selain itu, beliau berharap akan ada berita gembira dalam masa terdekat.
"ISWAMI turut menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi pihak berkuasa Indonesia, termasuk Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) yang telah mengerahkan aset bagi mengesan kedudukan mangsa," katanya.
Beliau dalam masa sama berharap agar pasukan SAR gabungan terus tabah dan mempergiatkan usaha pencarian di sekeliling kawasan terjejas sehingga kesemua mereka ditemui dengan selamat.