PUTRAJAYA - Dua pemandu kereta yang ditahan kerana aksi menguji kelajuan di Jambatan Putra di sini bagi menghasilkan kandungan media sosial direman sehari pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua pemandu turut dikenakan tindakan saman atas kesalahan mengubah suai kenderaan.
"Pemandu berusia 19 dan 21 tahun telah direman sehari dan akan diberi jamin sementara siasatan dilengkapkan.
"Kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan kes tular di platform Threads yang memaparkan rakaman video aksi dua buah kereta sedang menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 19 dan 21 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Siasatan polis mendapati kedua-dua individu berkenaan berada di lokasi tersebut bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.
Aidi Sham dilaporkan berkata, pemeriksaan pemandu berusia 21 tahun terbabit didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya telah tamat tempoh.