Kerajaan tidak benarkan jalan raya awam dijual kepada pihak swasta

Iklan
Syed Ibrahim menjawab soalan Prabakaran ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Jalan raya khususnya jalan utama yang dibina di atas tanah milik kerajaan tidak dibenarkan untuk dijual atau diserahkan kepada pihak swasta kerana ia merupakan aset awam dan strategik negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dalam keadaan tertentu, penglibatan pihak swasta hanya terhad kepada pengurusan atau penyelenggaraan jalan melalui perjanjian konsesi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penglibatan berkenaan adalah tanpa menjejaskan pemilikan kerajaan ke atas tanah atau status jalan tersebut sebagai jalan awam.

“Bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara dan akses awam tidak disekat sewenang-wenangnya, sebarang penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan adalah tertakluk kepada pewartaan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Iklan

“Ia mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] serta Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 828].

“Proses ini melibatkan penelitian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) serta keperluan penyediaan laluan alternatif yang setara atau lebih baik sekiranya melibatkan akses awam,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) sama ada kementerian akan membenarkan jalan raya yang dibina atas tanah milik kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta.

Syed Ibrahim menegaskan, kerajaan kekal komited untuk memastikan setiap keputusan berkaitan rangkaian jalan awam dibuat secara telus dan berimbang bagi memastikan kepentingan rakyat terjamin.

Menjawab soalan tambahan mengenai mekanisme yang diguna pakai oleh kerajaan dalam mempertimbangkan sebarang perubahan laluan jalan awam bagi memastikan akses penduduk tidak terjejas, beliau menjelaskan perkara itu dibuat berpandukan Akta 828.

“Di bawah Akta 828, sebarang perubahan laluan jalan awam yang melibatkan tanah kerajaan tertakluk kepada kuasa dan kelulusan PBN khususnya yang berkaitan dengan pengurusan, pewartaan dan pelupusan tanah kerajaan termasuk tanah yang diperuntukkan sebagai simpanan jalan.

“Dalam mempertimbangkan perubahan tersebut, kerajaan mengguna pakai mekanisme penilaian berlapis yang merangkumi semakan status tanah di bawah Akta 828 termasuk pengesahan sama ada laluan berkenaan ialah tanah kerajaan atau simpanan jalan,” ujarnya.

Beliau berkata, ia juga membabitkan penilaian teknikal oleh JKR dan PBT berhubung keselamatan, kapasiti dan kebolehcapaian jalan serta pengenaan syarat kelulusan oleh PBN yang mewajibkan penyediaan jalan alternatif yang setara atau lebih baik sebelum sebarang perubahan laluan dilaksanakan.

“Dalam hal ini, terdapat peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak sama ada JKR, PBT dan juga PBN,” katanya.