Radzi Jidin dilantik Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka

Iklan
Mohd Radzi

SHAH ALAM - Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan Naib Presiden yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden itu dibuat dengan persetujuan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelantikan Ahli Parlimen Putrajaya itu dibuat dengan mengambil kira pengalaman dan kepimpinan beliau yang mampu membina kekuatan dalam kalangan pemimpin baharu serta komited kepada idealisme perjuangan parti.

"Tugas utama beliau ialah untuk menyusun semula struktur kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Melaka dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat.

Iklan

"Pasukan kepimpinan yang baharu diyakini akan meneruskan perjuangan rakyat dan menjana kekuatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka pada hujung tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik pada Selasa mengumumkan melepaskan jawatan Ketua Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Iklan

Beliau turut melepaskan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ahli Jawatankuasa Pengukuhan Parti.

Perkembangan itu menyusul selepas beberapa pemimpin Bersatu Melaka meletak jawatan, termasuk Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Bersatu Masjid Tanah atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.