KULAI - Operasi memadam kebakaran melibatkan kilang plastik di kawasan perindustrian Senai masih diteruskan selepas kebakaran besar berlaku di Jalan Sengkang di sini pada petang Selasa.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.37 petang.
Menurutnya, seramai 39 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, BBP Bandar Baru Kulai serta BBP Skudai dikerahkan ke lokasi bersama kekuatan tiga jentera FRT, satu CFRT, sebuah Hilux, sebuah Triton dan dua lori.
"Kebakaran melibatkan sebuah stor plastik jenis separuh kekal berukuran kira-kira-kira 91 x 152 x 24 meter dengan anggaran kemusnahan sekitar 80 peratus.
"Operasi pemadaman dilaksanakan secara bersektor melibatkan bahagian hadapan, sisi dan belakang bangunan bagi mengawal serta mengepung kebakaran daripada merebak ke struktur berhampiran.
“Sebanyak tiga aliran sepanjang 243.84 meter digunakan bersama tiga breeching dan enam pancutan air menerusi kaedah relay pumping dari sumber air terbuka iaitu sungai. Operasi turut dibantu jentera ALP bagi kerja-kerja pemadaman di bahagian atas struktur,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut menerima bantuan daripada pihak MMHE melibatkan 11 anggota bersama 20 tong buih (foam) berkapasiti 20 liter setiap satu, selain bantuan foam tambahan dari negeri berdekatan yang telah diatur gerak ke lokasi.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.39 malam, namun operasi pemadaman diteruskan sehingga awal pagi Rabu.
"Dalam perkembangan terbaharu pada jam 7 pagi Rabu, kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira 60 peratus dan dianggarkan masih berbaki 40 peratus untuk dipadamkan sepenuhnya.
"Tambahan 30 tong foam dari negeri berhampiran dilaporkan dalam perjalanan ke lokasi bagi menyokong operasi," ujarnya.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut setakat ini dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya dan kawasan berada dalam keadaan selamat.