Mahkamah Rayuan benarkan permohonan Dzulkefly gugurkan Pesuruhjaya Kehakiman

Iklan
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Dr Dzulkefly untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi daripada mendengar saman fitnah RM5 juta yang difailkannya terhadap Najib. Gambar fail

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi daripada mendengar saman fitnah RM5 juta yang difailkannya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Choo Kah Sing yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ong Chee Kwan, secara sebulat suara memutuskan bahawa permohonan yang difailkan oleh Menteri Kesihatan itu mempunyai merit.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengarahkan agar kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim atau pesuruhjaya kehakiman lain.

Panel itu juga mendapati arahan yang diberikan oleh Arziah semasa pengurusan kes tahun lepas telah menimbulkan bahaya sebenar berlakunya berat sebelah kerana Dzulkefly tidak diberi pilihan untuk meneruskan prosiding bagi membentangkan kesnya.

Iklan

"Pesuruhjaya Kehakiman itu didakwa berkata 'jika perkara itu tidak diselesaikan, ia akan dibatalkan,’ yang hampir terjumlah kepada ancaman... jadi, terdapat elemen berat sebelah yang mencukupi sehingga menimbulkan bahaya sebenar berlakunya berat sebelah,” kata Choo.

Selepas prosiding itu, pasukan peguam Najib mengesahkan bahawa saman fitnah tersebut telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi esok dan mereka tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Iklan

Pada 14 April tahun lepas, Dr Dzulkefly telah memfailkan permohonan agar Arziah menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan kenyataan yang dikeluarkan beliau semasa pengurusan kes pada 7 Mac dan 7 April lepas mengenai pembatalan tindakan berkenaan menunjukkan sikap atau mewujudkan persepsi berat sebelah.

Pada 29 Julai 2025, Arziah menolak permohonan itu atas alasan Dzulkefly gagal membuktikan wujudnya sebarang risiko berat sebelah yang sebenar berikutan arahan awal yang dikeluarkannya atau hakikat bahawa beliau adalah anak Mohamed Apandi.

Pada Januari 2022, Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Najib telah memuat naik hantaran berbaur fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020 berhubung isu kronisme bersama-sama lampiran tangkap layar artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar plaintif.

Beliau mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif mengamalkan kronisme dengan menawarkan jawatan atau pelantikan kepada ahli keluarga tanpa melalui penilaian yang objektif dan keupayaan bagi jawatan tertentu dalam kerajaan atau syarikat swasta.

Plaintif mendakwa Najib selaku defendan telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat menyerang peribadi beliau, merendah serta memalukannya selain bermotifkan politik bagi memfitnah dan merosakkan reputasinya.

Najib dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mac 2022 pula mendakwa hantaran mengenai isu kronisme itu tidak ada kena-mengena dengan Dzulkefly sebaliknya merujuk kepada gabungan parti dalam Pakatan Harapan.- Bernama