GUA MUSANG - Seorang pemuda Orang Asli cedera pada kaki kanan dan tangan kiri akibat digigit beruang di Kampung Kuala Yai, Pos Tohoi di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Asmir Alang, 19, dikatakan ke hutan bersama lima rakannya sebelum bertembung dengan dua ekor beruang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintenden Azlan Che Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.58 malam.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakannya masuk ke dalam hutan berhampiran Kampung Kuala Yai di Pos Tohoi untuk mencari herba.
"Semasa mereka sedang mencari kawasan untuk berehat, dua ekor beruang telah muncul. Mangsa telah panik dan bertindak memanjat sebatang pokok," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, semasa lelaki terbabit memanjat pokok, seekor beruang bertindak menggigit kaki kanan dan tangan kirinya.
Ujarnya, rakan-rakan mangsa telah bertindak memukul beruang terbabit dan kedua-dua haiwan liar tersebut melarikan diri bersama.
Azlan memberitahu, Asmir telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.