KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Kerajaan telah mengehadkan kemasukan pusat data baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sejak dua tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak peningkatan beban ke atas grid kuasa nasional yang mendorong kepada gangguan bekalan kepada pengguna domestik dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Kalau ada manfaat dari sudut penambahan teknologi tinggi dan AI, itu mudah diluluskan.
“Jadi,semua permohonan baru yang tidak ada kaitan (dengan AI), hanya pusat data kerana menggunakan kemudahan air dan harga tenaga yang lebih murah, itu sudah pun dihentikan,” katanya ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai kesan Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI kepada penggunaan tenaga dan air serta usaha memastikan bekalannya mencukupi bagi pengguna domestik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bekalan tenaga dan air negara masih berkeupayaan untuk menanggung kegunaan pusat data baharu bagi tempoh satu hingga dua tahun.
Ujarnya, pertimbangan itu berdasarkan data daripada unjuran oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Sama ada ia dapat memenuhi (penggunaan pusat data baharu), kalau setakat satu dua tahun keperluan ini memang mencukupi.
“Bagaimanapun ada usaha lain umpamanya, Grid Tenaga ASEAN yang sedang di selenggara dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.
“Selain itu, rancangan mendapatkan tenaga dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura itu untuk jangka panjang, insya-ALLAH akan memenuhi keperluan ini,” ujarnya.