KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga tidak akan mewujudkan semula budaya ranking atau penarafan sekolah sehingga memberi tekanan berlebihan kepada murid serta guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebaliknya, kementerian menekankan aspek integriti dan matlamat intervensi dalam pelaksanaan sistem berkenaan selaras dengan domain Pentaksiran Berasaskan Sekolah di bawah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan.
"Pelaksanaan Matriks Pembelajaran ini kita berikan tumpuan, bukan bertujuan untuk mewujudkan penarafan sekolah atau persaingan tidak sihat, sebaliknya bagi membantu mengenal pasti tahap penguasaan murid untuk tujuan sokongan dan intervensi awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Senator Che Alias Hamid yang bertanyakan jaminan kerajaan mengenai isu itu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Isnin.
Fadhlina berkata, keputusan pentaksiran itu akan digunakan bagi memperkukuh penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran saintifik murid, selain memastikan mereka dinilai secara holistik.
Katanya, sistem itu juga membantu guru dan sekolah merangka program pemulihan yang lebih berfokus tanpa mengabaikan silibus ditetapkan.
Beliau juga menegaskan kementerian akan terus memantau pelaksanaan MPM bagi memastikan ia tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan kesejahteraan murid.
"Kita cukup menjaga aspek integriti pentaksiran supaya ia benar-benar menjadi ukuran penguasaan murid bukan alat untuk mewujudkan stigma atau tekanan,” katanya.
Matriks Pembelajaran Tahun Empat dijadual dilaksanakan mulai Oktober 2026 manakala bagi Tingkatan Tiga bermula pada 2027, selaras dengan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035. - Bernama