PKNS sumbang RM100,000 bina prasarana dewan Asrama Anak Yatim Miskin Sekendi

Iklan
Sapna (kanan) menyerahkan simbolik cek kepada Ahmad Bustamam Abdul Latiff (kiri) sambil disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi di sini pada Sabtu.

SABAK BERNAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang RM100,000 bagi pembinaan prasarana dewan di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi di sini pada Sabtu.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Iklan
Iklan

Simbolik penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS, Sapna Turmidi kepada Pengerusi Rumah Anak Yatim Sekendi, Ahmad Bustamam Abdul Latiff disaksikan oleh Raja Muda Selangor sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim asrama berkenaan.

Sumbangan itu adalah sebagai tanda komitmen PKNS dalam memperkasa kemudahan asrama, sekali gus mempertingkatkan prasarana untuk kegunaan penghuni dan komuniti setempat.

Iklan

Pada majlis sama, Tengku Amir Shah turut mengurniakan sumbangan 100 kilogram beras kepada pihak asrama selain kain pelikat dan kain batik kepada 25 anak yatim sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Asrama yang ditubuhkan pada 1985 di atas tanah wakaf seluas empat ekar itu adalah antara 35 rumah kebajikan berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan menyediakan perlindungan serta pendidikan kepada anak yatim dan miskin sekitar daerah ini.

Iklan

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail serta Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Dalam pada itu, PWS turut menyalurkan RM41,000 bagi kerja renovasi dan penambahbaikan surau termasuk penggantian permaidani, manakala Rizam membiayai kerja penurapan jalan dari jalan utama ke asrama berkenaan.

Asrama berkenaan diasaskan Allahyarham Abdul Latif Syukor atau lebih dikenali sebagai

Ustaz Hayat dan kini diterajui Ahmad Bustamam Abd Latiff bersama barisan pengurusan yang komited memastikan kebajikan, pendidikan serta pembangunan sahsiah penghuni terus terpelihara.

Sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kebajikan golongan memerlukan khususnya anak yatim agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan membina masa depan lebih cemerlang.