Nazmi ketuai tiga pengadil ke Piala Asia 2027

Iklan
Nazmi (tengah) bersama dua penolong pengadil akan membawa nama Malaysia pada Piala Asia 2027 di Arab Saudi tahun depan. Foto : FB FAM.

MALAYSIA bakal diwakili tiga pegawai perlawanan pada Piala Asia 2027 di Arab Saudi selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan senarai 76 pegawai yang dipilih untuk kejohanan berkenaan.

Pengadil negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin menjadi wakil Malaysia dalam kelompok 24 pengadil, manakala Mohamad Mu’azi Zainal Abidin dan Mohamad Zairul Khalil Tan disenaraikan sebagai penolong pengadil.

Iklan
Iklan

Lebih membanggakan, Nazmi merupakan satu-satunya pengadil dari Asia Tenggara yang terpilih bagi kejohanan yang dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027 itu.

Bagi kategori penolong pengadil, Mu’azi dan Zairul adalah antara tiga wakil Asia Tenggara yang terpilih, bersama seorang pegawai dari Vietnam.

Iklan

Senarai berkenaan turut membabitkan 11 Pegawai Perlawanan Video (VMO), dengan Singapura dan Thailand masing-masing mempunyai seorang wakil.

Selain tiga pegawai itu, bekas pengadil FIFA dari Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh turut diberi kepercayaan AFC untuk menjalankan tugas sebagai Instruktur Teknikal.

Iklan

Pemilihan tersebut menyaksikan Nazmi sekali lagi mendapat kepercayaan untuk bertugas di pentas Piala Asia selepas turut mengadili edisi 2023 di Qatar yang berlangsung pada Januari dan Februari 2024.

Pada kejohanan berkenaan, Nazmi turut ditemani Zairul dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang bertugas sebagai penolong pengadil.