Kesiapsiagaan hospital kerajaan, penyakit talasemia antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Iklan
Kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit disoal di Dewan Rakyat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit serta isu berkaitan penyakit talasemia antara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut aturan urusan mesyuarat Parlimen, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung serta peruntukan khusus untuk pencegahan awal, pada sesi soal jawab.

Iklan
Iklan

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah terkini pesakit talasemia di negara ini dan kos yang diperlukan bagi merawat seorang pesakit dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun, selain ingin tahu sama ada kerajaan akan membangunkan kaedah rawatan Gene Therapy untuk pesakit.

Pada sesi sama, Syahredzan Johan (PH-Bangi) bertanya kepada Menteri Pengangkutan mengenai sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah bersempena dengan Ramadan yang melihat perubahan pola pergerakan dan waktu puncak baharu yang akan ditetapkan.

Iklan

Selain itu, Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan bagaimana rangka kerja Malaysia Care Economy dan pelan tindakan 2026-2030 menangani jurang akses, kualiti dan tenaga kerja penjagaan bagi warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain ingin tahu mengenai sasaran, peruntukan dan indikator prestasi khusus bagi tempoh berkenaan.

Selesai sesi soal jawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.1) serta RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026, manakala Menteri Kewangan akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, masing-masing bagi bacaan kali pertama.

Iklan

Turut tersenarai, RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 oleh Menteri Kewangan bagi bacaan kali kedua sebelum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) membentangkan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026. - Bernama