'Rafah Is Gone' gambarkan kemusnahan, sekatan ketat di selatan Gaza - Nadir Al-Nuri

Iklan
Nadir turut berkongsi infografik mengenai situasi di Rafah menerusi hantaran di Facebook beliau.

SHAH ALAM – Istilah 'Rafah Is Gone' yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini merujuk kepada situasi semasa di Rafah, Gaza yang didakwa berdepan kemusnahan hampir menyeluruh serta sekatan ketenteraan ketat sehingga menyukarkan penduduk untuk kembali ke kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, selain kemusnahan fizikal, keadaan Rafah turut dipengaruhi faktor keselamatan yang menyebabkan penduduk Gaza tidak lagi dapat memasuki kawasan itu kerana dijadikan zon ketenteraan.

Iklan
Iklan

"Pertama, kerosakan hampir keseluruhan yang berlaku di sana sejak serangan bertumpu ke Rafah khususnya untuk mencari baki pejuang yang berada di dalam terowong.

"Kedua, ia disebabkan penduduk Gaza tidak dapat lagi masuk ke Rafah kerana ia menjadi zon tentera penjajah dan konco-konconya," katanya menerusi satu hantaran Facebook.

Iklan

Nadir memaklumkan, iparnya yang berjaya masuk semula ke Gaza terpaksa melalui beberapa tempat pemeriksaan oleh pihak Mesir, Israel, tentera Eropah sehinggalah pasukan mafia Abu Shabab dengan 1,001 soal siasat sebelum dilepaskan.

Iklan

"Setelah melalui saringan hampir sehari di sempadan, dia hanya boleh disambut ahli keluarga di Khan Yunus iaitu wilayah di utara Rafah. Jadi, Rafah Is Gone," ujarnya lagi.

Beliau turut memberitahu terdapat perancangan baharu untuk meletakkan Rafah di bawah pentadbiran Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).

Justeru, Nadir menggesa masyarakat antarabangsa supaya memainkan peranan dengan menekan kerajaan masing-masing agar tidak terlibat dalam sebarang perancangan yang boleh menjejaskan keadaan di Rafah.

Beliau berkata, pada masa ini tindakan di bawah GSF adalah terbukti paling berkesan.

Aktivis kemanusiaan itu turut menyeru orang ramai agar tidak memperlekeh usaha yang sedang digerakkan, sebaliknya memilih untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap isu berkenaan.