PASIR GUDANG - UMNO menegaskan tidak perlu diwujudkan parti politik Melayu yang baharu ketika ini, sebaliknya semua pihak diseru kembali bersatu dalam satu wadah besar demi memperkukuh perjuangan dan kedudukan orang Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jelas menggambarkan kerapuhan sebuah parti yang masih baharu.
Jelasnya, kepimpinan parti berkenaan dilihat bergelut dengan isu perebutan jawatan, bukannya fokus kepada keperluan serta cabaran sebenar rakyat.
“Kita tidak perlu menubuhkan satu lagi parti Melayu. Apa yang lebih penting ialah menyatukan semula orang Melayu dalam satu wadah besar yang sudah sedia ada.
“Kita tahu bagaimana Bersatu terbentuk dan daripada sebuah parti baharu mungkin menyebabkan perpecahan lagi dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Ya, keadaan itu juga berlaku kepada UMNO tetapi UMNO sebuah parti lama, bukan baharu seperti Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam di sini pada Sabtu.
Sebelum itu, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menegaskan UMNO terbuka menerima mana-mana ahli Bersatu kembali bersama UMNO.
“Kita mulakan dengan langkah penyatuan terlebih dahulu. Selepas itu barulah kita fikirkan hala tuju seterusnya demi memastikan orang Melayu kekal kuat dan bersatu berhadapan pelbagai cabaran,” katanya.
Ditanya mengenai masa sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahli Parlimen Kota Tinggi itu mengakui kini merupakan waktu terbaik pilihan raya diadakan susulan perpecahan yang dihadapi Bersatu turut menjejaskan imej dan kestabilan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau dilihat memang ini waktu terbaik, tetapi banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Apa pun keputusan itu hanya boleh dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.