BN tak mahu campur tangan kemelut Bersatu - Zambry

Iklan
Zambry bercakap kepada pemberita pada Sabtu.

MANJUNG - Barisan Nasional (BN) tidak akan mencampuri urusan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan tindakan pemecatan beberapa pemimpin parti itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, adalah tidak wajar untuk BN terlibat dalam sebarang langkah ketika parti berkenaan berdepan konflik dalaman.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebarang tindakan atau keputusan berkaitan perkara itu perlu diselesaikan oleh kepimpinan dan ahli parti terbabit tanpa campur tangan pihak luar.

"Kita tidak mahu orang kata kita masuk campur ataupun terlibat dalam apa yang berlaku dalam parti yang berkenaan.

Iklan

"Dalam keadaan mereka berantakan sesama sendiri, tidak wajar untuk kita datang sama ada melakukan langkah-langkah menyelamat atau memberi ruang tertentu. Biarlah mereka selesaikan sesama mereka terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung bersempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di sini pada Sabtu.

Iklan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, dalam suasana politik semasa, sememangnya pelbagai spekulasi timbul termasuklah dakwaan kononnya terdapat pemimpin tertentu untuk mendekati BN.

"Macam-macam kita dengar. Tetapi pada peringkat ini, sepertimana disebutkan Presiden kami (UMNO) (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), kita mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri masalah mereka," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui, BN sentiasa memerhati perkembangan semasa membabitkan parti politik lain termasuk apa yang sedang berlaku dalam Bersatu.

"Sebagai parti politik, takkanlah kita nak pejamkan mata, pekakkan telinga, (seolah) tidak tahu apa yang berlaku..kita tengoklah," ujarnya.

Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin Bersatu dilapor memecat 17 ahlinya termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mereka yang dipecat ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dua ADUN yang turut dipecat ialah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka) yang juga Ketua Pembangkang negeri berkenaan.

Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi termasuklah pembubaran jawatankuasa Bahagian Bersatu di beberapa negeri.