Suspek tikam ibu direman seminggu

Iklan
Suspek direman tujuh hari. - Foto hiasan

KUALA PILAH – Wanita yang didakwa menikam leher ibunya dengan pembuka tin dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, Johol, di sini pada malam Jumaat direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Mustafah Hussin berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tampin, Mohamad Redza Azhar Rezali bermula 21 hingga 27 Februari.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, proses reman berkenaan dijalankan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini selepas suspek diarahkan doktor untuk ditahan di wad.

"Suspek telah diarahkan doktor untuk ditahan di wad bagi pemeriksaan lanjut kerana keadaan kesihatannya yang dikatakan mengalami masalah mental, malah dikesan turut mengalami masalah kesihatan lain.

Iklan

"Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam tadi di rumah lokasi kejadian dan dia memang tidak ke mana-mana," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini polis masih belum dapat mengambil kenyataan daripada suspek kerana kenyataan yang diberikan tidak konsisten seolah-olah sedang berhalusinasi.

Iklan

Tambahnya, suspek merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak, namun mereka tinggal berasingan.

Tambahnya lagi, suspek juga tidak bekerja dan difahamkan telah berpisah dengan suami kerana masalah mental yang dihadapi.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, Mustafah berkata, warga emas berusia lingkungan 80-an itu berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.