SHAH ALAM – Nilai pelaburan pusat data di Malaysia berpotensi melonjak sehingga empat kali ganda kepada kira-kira RM577 bilion dalam tempoh lima tahun ke hadapan jika sumber air negara diuruskan dengan cekap, mampan dan bersepadu sejajar keperluan industri digital.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, anggaran lonjakan itu bersandarkan prestasi semasa sektor berkenaan yang telah merekodkan kemasukan pelaburan sekitar RM144.4 bilion dalam tempoh 2021 hingga pertengahan 2025.
"Sebenarnya syarikat-syarikat yang masuk ke negara ini untuk membuka pusat data ini baru nak mencuba atau dengan kata lain ia menjadi projek rintis mereka dan mereka pastinya akan terus menambah pelaburan jika negara dapat menyediakan keperluan dari segi bekalan air dan kemudahan infrastruktur lain.
"Selain itu, pelabur-pelabur lain juga pastinya akan lebih ramai masuk jadi potensi pelaburan pusat data ini dilihat boleh melonjak jauh lebih besar sehingga ke empat kali ganda dalam masa lima tahun akan datang berbanding sekarang," katanya kepada Sinar Harian.
Muka depan akhbar ini terdahulu melaporkan, Malaysia kini menjadi tumpuan pelaburan pusat data bernilai berbilion ringgit, namun di sebalik ledakan ekonomi digital itu timbul persoalan besar terhadap daya tampung bekalan air negara.
Pusat data, iaitu kemudahan yang menempatkan ribuan pelayan komputer bagi memproses internet dan kecerdasan buatan (AI), memerlukan air dalam jumlah besar untuk menyejukkan operasi yang berjalan tanpa henti.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menganggarkan keperluan air bagi 104 pusat data mencecah 876 juta liter sehari pada 2025, bersamaan penggunaan hampir empat juta rakyat berdasarkan purata 228 liter seorang sehari.
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor turut dilapor berkata, walaupun mereka menyambut baik kemasukan pelaburan termasuk industri berteknologi tinggi seperti pusat data yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, gabungan itu menegaskan pembangunan perlu diseimbangkan dengan keupayaan infrastruktur asas.
Mengulas lanjut, Barjoyai menegaskan, beliau memahami kebimbangan masyarakat terutama di Johor terhadap bekalan air mengambil kira pusat data yang memerlukan sumber air yang sangat besar sehinggakan boleh menjejaskan keperluan air penduduk tempatan.
Susulan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menguruskan air dengan cekap, mampan dan bersepadu memandangkan peluang untuk meningkatkan pelaburan dalam industri digital juga tidak boleh dilepaskan kerana data ketika era data raya pada waktu ini dianggap sebagai 'emas'.
Menurutnya, sebagai sebuah negara tropika yang menerima taburan hujan tinggi, bekalan air bukan sahaja boleh diperoleh daripada air hujan tetapi daripada sungai, air dari kawasan pergunungan dan sumber air bawah tanah cetek atau akuifer yang masih kurang dimanfaatkan.
“Air sungai juga boleh digunakan untuk tujuan penyejukan pelayan komputer kerana industri pusat data tidak memerlukan kualiti air setara air minuman.
"Justeru, perancangan lokasi pusat data wajar dibuat berhampiran sungai atau sumber air alternatif bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan air domestik,” ujar beliau.
Tambahnya, pada masa sama, kerajaan juga mungkin perlu menilai semula penjualan air mentah ke Singapura dengan harga yang sangat rendah memandangkan bekalan air yang kian diperlukan untuk menampung industri pusat data tersebut.
Beliau turut menggesa supaya kerajaan menyelesaikan masalah kadar air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi beberapa negeri kerana ia menjejaskan kecekapan sistem bekalan air negara
“Di Perlis, kadar NRW mencecah sekitar 61 peratus manakala Kedah kira-kira 55 peratus. Ini bermakna air telah diproses tetapi hilang akibat paip lama yang berusia lebih 50 tahun dan berlaku kebocoran hingga mendatangkan kerugian besar kepada negara.
"Sehubungan itu, kerajaan perlu melabur dalam industri air untuk menggantikan kira-kira 145,000 kilometer paip lama di seluruh negara sebagai langkah kritikal memastikan kelestarian bekalan air," saran beliau.