KUALA LUMPUR – Seragam biru bukan sekadar pakaian kerja semata-mata, sebaliknya sebahagian ‘warna’ kehidupan kerana membesar dalam keluarga yang menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai kerjaya.
Bagi bekas pegawai kanan polis, Datuk Asmawati Ahmad, melihat pengorbanan ibu bapanya bertugas demi keselamatan negara adalah satu kebanggaan.
“Pengorbanan arwah bapa saya sebagai anggota Pasukan Polis Hutan ketika negara berhadapan ancaman komunis merupakan pembakar semangat kepada saya untuk menyertai PDRM,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurut Asmawati, pelbagai cabaran dan pengalaman berharga dilalui sepanjang 40 tahun berkhidmat bersama pasukan Sang Saka Biru.
“Setiap detik dilalui dalam PDRM merupakan pengalaman berharga kerana mengajar erti pengorbanan yang melangkaui kepentingan peribadi,” katanya.
Menyingkap kembali perjalanan kerjaya, anak sulung daripada lima beradik itu berkata, beliau menyertai PDRM pada 8 Februari 1981 kerana minat terhadap tugas kepolisan.
“Saya generasi keempat dalam keluarga menjadikan PDRM sebagai kerjaya,” katanya.
Asmawati berkata, beliau memulakan tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak sebagai pegawai penyiasat selama setahun.
“Biarpun singkat, tempoh itu dimanfaatkan sebaiknya bersama pengalaman mengendalikan pelbagai kes.
“Saya kemudian ditukarkan ke Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1982,” katanya.
Beliau berkata, kesempatan itu memberi peluang menimba ilmu dan pengalaman dengan mengikuti kursus di dalam dan luar negara bagi menambah kepakaran dalam bidang kepolisan.
“Pengalaman terlibat dalam menyediakan kawalan keselamatan orang kenamaan dan venue persidangan peringkat antarabangsa dan serantau yang berlangsung di negara ini antara kenangan paling berharga,” ujarnya.
Sifat kepimpinan yang tersemat dalam diri Asmawati terus menyerlah melalui ketelitian dalam menjalankan tugas.
Hal itu dapat dilihat melalui kejayaan dilakar menerusi tugas risikan yang diamanahkan kepadanya.
Selama 32 tahun berkhidmat di jabatan berkenaan, Asmawati memegang pelbagai jawatan penting hasil kepercayaan penuh pegawai atasan.
Tanggal 2 Januari 2014 menjadi detik bersejarah buat Asmawati apabila dilantik sebagai Ketua Komunikasi Korporat PDRM yang ke-11.
Asmawati berkata, beliau berada di barisan hadapan mengurus komunikasi pasukan ketika negara dilanda pelbagai insiden termasuk kehilangan pesawat MH370, tragedi MH17, kes pembunuhan Kim Jong-nam, penemuan kubur di Wang Kelian, banjir besar di seluruh negara serta pandemik Covid-19.
“Selain itu, saya dijemput menjadi tetamu bagi program di televisyen, radio malah akhbar utama sebagai jurucakap PDRM sempena sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Polis dan Hari Pahlawan.
“Malah, apabila berlaku penularan berita palsu, saya diberi amanah untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak PDRM agar kegusaran masyarakat dapat segera dibendung,” ujarnya.
Cabaran tangani persepsi negatif
Menurutnya, cabaran paling utama kepada mana-mana agensi penguat kuasa seperti PDRM ialah usaha menangani persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Situasi itu amat menyedihkan kerana stigma tersebut ada kalanya menyebabkan pihak tertentu seakan-akan terlupa akan segala pengorbanan dan khidmat bakti PDRM selama ini,” katanya.
Menurut beliau, berkhidmat dalam pasukan keselamatan sama ada sebagai pegawai atau anggota polis mahupun tentera merupakan sebaik-baik peluang menjalankan tanggungjawab dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
“Bagi saya, ia merupakan satu jihad apabila setiap hari kita berjuang untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
“Saya bersyukur dapat membesarkan anak-anak dengan gaji seorang pegawai polis,” katanya.
Asmawati bersara pada 9 Januari 2021 dengan pangkat Senior Asisten Komisioner kini meneruskan perjuangan sebagai Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA).
“MAPA ialah pasukan sokongan kepada PDRM dalam memastikan khidmat kepolisan sampai kepada setiap lapisan masyarakat melalui kewujudannya di agensi kerajaan, badan berkanun mahupun sektor swasta,” katanya.
Asmawati berkata, MAPA akan terus mendukung dan menyokong wawasan PDRM selari dengan amanat Ketua Polis Negara ke arah pengukuhan integriti, disiplin, penyeliaan berkesan dan adaptasi teknologi seperti Kecerdasan Buatan.
“MAPA juga telah memulakan inisiatif yang bersesuaian ke arah memenuhi hasrat pucuk pimpinan PDRM tersebut.
“Terima kasih kepada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM yang memberi nasihat dan sokongan sepanjang memegang jawatan Presiden MAPA,” ujarnya.