PEMERGIAN insan tersayang sentiasa meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi, lebih-lebih lagi apabila Ramadan dan Syawal menjelma.
Kerusi di meja makan terasa sunyi, suara yang biasa menyapa tidak lagi kedengaran, malah Aidilfitri tanpa mereka menjadi detik paling meruntun jiwa bagi keluarga yang ditinggalkan.
Di sebalik kesedihan itu, ada pemergian yang dianggap dicemburui, bukan kerana kehilangan itu tidak menyakitkan, tetapi kerana ia berlaku dalam keadaan husnul khatimah, iaitu pengakhiran yang baik dan menenangkan.
Pada hari pertama Ramadan, seorang jemaah lelaki menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat berjemaah di Surau Jabal Nur, Taman Seri Gombak, Selangor.
Di Sabah pula, seorang jemaah lelaki meninggal dunia sejurus selesai menunaikan solat Isyak di Masjid Jamek Kampung Likas, Kota Kinabalu.
Mungkin ramai tidak mengenali kedua-dua arwah, namun kisah pemergian mereka menyentuh hati masyarakat.
Meninggal dunia di masjid ketika beribadah, apatah lagi pada bulan Ramadan, menjadi pengakhiran yang diimpikan ramai.
Ia mengingatkan bahawa kematian boleh datang pada bila-bila masa dan sebaik-baik pengakhiran ialah ketika seseorang berada dalam ketaatan kepada ALLAH SWT.
Apabila seseorang dijemput Ilahi ketika sedang beribadah atau dalam perjalanan melakukan kebaikan, masyarakat mudah tersentuh.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen memaklumkan bahawa mereka mencemburui pemergian kedua-duanya, selain turut berdoa agar pengakhiran yang baik sedemikian dikurniakan kepada semua.
Pengakhiran yang baik bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada amalan konsisten, hati yang ikhlas dan kehidupan yang dekat dengan rumah ALLAH.
Buktinya, Allahyarham Alias Abd Ghani, 69, atau Pak Yob yang menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat pada 1 Ramadan disifatkan ahli jawatankuasa yang sangat baik, rajin membantu menyelenggara elektrik, menukar lampu dan sebagainya.
Begitu juga jemaah lelaki dari Sabah yang rutin hariannya hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu sebelum meninggal dunia selepas Isyak.
Bagaimanapun, suasana Ramadan yang sepatutnya dipenuhi ibadah turut dicemari dengan insiden pecah tabung di Masjid An-Nasriyah, Sitiawan, Perak oleh dua individu tidak bertanggungjawab.
Ketika sebahagian umat Islam berlumba-lumba menambah pahala, masih ada yang memilih jalan sebaliknya.
Justeru, kisah jemaah seperti Pak Yob yang meninggal dunia ketika solat wajar menjadi inspirasi agar masyarakat memperbanyakkan ibadah, sedekah dan amal kebajikan.
Pada masa yang sama, ia juga menjadi peringatan agar menjauhi perbuatan yang boleh menjerumuskan kepada dosa.
Hal ini kerana jika seseorang memilih jalan yang salah, kemungkinan untuk pergi dalam keadaan tidak baik juga wujud.
Selagi masih diberi kesempatan bernafas, rebutlah ruang untuk memperbaiki diri.
Perbanyakkan amalan, kawal hawa nafsu dan dekatkan diri kepada ALLAH SWT agar apabila tiba saat dijemput pulang, kita berada dalam keadaan yang paling baik.
Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat Allahyarham Pak Yob dan seluruh umat Islam yang telah pergi menghadap Ilahi.