ISU rasuah di negara ini dilihat semakin membarah dan membimbangkan pelbagai lapisan masyarakat.
Hampir saban minggu, media melaporkan penahanan penjawat awam, ahli politik, mahupun pihak swasta yang terlibat dalam kegiatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana.
Di Alor Setar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada 11 Februari lalu menahan reman dua anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 pada tahun lepas.
Pada hari yang sama, di Melaka, dua anggota polis direman bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang terlibat kes narkotik.
Dalam hari yang sama juga, di Shah Alam, enam pegawai dan seorang bekas pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman empat hari disyaki meminta dan menerima rasuah RM15,000 berkaitan urusan lesen perniagaan.
Situasi ini bukan sahaja mencalarkan imej negara, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi yang sepatutnya menjadi tunjang integriti dan keadilan.
Rasuah bukan lagi dianggap kes terpencil, sebaliknya seolah-olah menjadi barah yang menular dalam sistem pentadbiran dan ekonomi.
Tindakan segelintir individu yang tamak dan mementingkan diri sendiri menyebabkan ketirisan wang rakyat mencecah jutaan ringgit.
Dana yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat akhirnya lesap akibat ketirisan dan manipulasi projek. Akibatnya, rakyat biasa yang menanggung kesan apabila kemudahan awam tidak disiapkan mengikut jadual atau berkualiti rendah.
Punca rasuah semakin membarah boleh dikaitkan dengan kelemahan integriti individu dan sistem penguatkuasaan yang masih mempunyai ruang untuk dimanipulasi. Sikap tamak, tekanan kos sara hidup serta budaya ‘duit kopi’ yang masih menebal turut menyumbang kepada masalah ini.
Lebih membimbangkan, ada pihak melihat rasuah sebagai jalan pintas mendapatkan kelulusan projek atau mempercepatkan urusan rasmi. Apabila perbuatan ini dianggap normal, ia terus berakar umbi dan sukar dibanteras.
Selain itu, ketelusan dalam proses perolehan dan pemberian kontrak juga sering menjadi persoalan. Sekiranya sistem tender tidak dipantau dengan rapi dan hanya menguntungkan pihak tertentu, risiko penyelewengan akan meningkat.
Dalam era digital, rakyat semakin celik dan berani bersuara di media sosial, mendedahkan pelbagai dakwaan salah laku. Namun, pendedahan semata-mata tidak mencukupi tanpa tindakan tegas dan hukuman setimpal terhadap pesalah.
Langkah membanteras rasuah memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak. Agensi penguat kuasa perlu diberikan kebebasan dan sokongan penuh untuk menjalankan siasatan tanpa campur tangan politik.
Hukuman lebih berat dan konsisten boleh menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak terlibat dalam kegiatan sama.
Dalam masa yang sama, pendidikan mengenai integriti dan nilai moral harus dipupuk sejak di bangku sekolah lagi bagi membentuk generasi yang berprinsip.
Kesimpulannya, rasuah yang semakin membarah bukan sekadar isu undang-undang, tetapi krisis moral dan kepercayaan. Jika tidak ditangani secara menyeluruh dan berterusan, ia boleh melemahkan struktur pentadbiran negara dan menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Semua pihak tanpa mengira kedudukan perlu memainkan peranan untuk memastikan budaya integriti ditegakkan dan amalan rasuah dihentikan demi masa depan negara yang lebih bersih dan berdaya saing.
*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Sub Editor Sinar Harian