SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengasingkan sepenuhnya sumber bekalan air bagi industri pusat data daripada kegunaan domestik, pertanian dan industri lain bagi mengelakkan risiko krisis bekalan air pada masa hadapan.
Cadangan itu dikemukakan bekas Menteri Air dan Sumber Asli, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan kebimbangan terhadap peningkatan pesat pembangunan pusat data yang memerlukan penggunaan air dan tenaga dalam jumlah besar.
Tuan Ibrahim berkata, pembangunan pusat data tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kapasiti sebenar sumber air dan tenaga negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pembangunan pusat data hanya dilaksanakan di lokasi yang mempunyai rizab air dan tenaga mencukupi seperti kawasan empangan besar.
“Contohnya, kerajaan patut fokuskan pembangunan industri pusat data di kawasan Empangan Kenyir atau Empangan Bakun di Sarawak yang mempunyai lebihan tenaga hidro dan rizab air besar. Sumber ini boleh dibangunkan khusus untuk pusat data tanpa menjejaskan pengguna lain, tetapi tidak boleh disambungkan dengan sistem bekalan sedia ada.
“Perancangan pusat data perlu strategik. Tidak semua negeri sesuai,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, inisiatif pembangunan pusat data yang semakin pesat susulan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) perlu disokong perancangan jangka panjang supaya negara tidak sekadar menjadi hab pusat data kos rendah.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi hab pusat data kos rendah untuk negara maju tanpa perancangan jangka panjang. Memang benar sumbangan pusat data kepada KDNK dianggarkan mencecah RM14.1 bilion pada 2025, tetapi persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia dari segi air dan tenaga?” katanya.
Menurut beliau, dua isu utama yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan air yang tinggi bagi tujuan penyejukan serta keperluan tenaga elektrik yang besar.
Katanya, negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pelaburan pusat data juga berdepan tekanan bekalan air.
“Johor sendiri membekalkan air kepada Singapura, manakala Melaka masih membeli air daripada Johor.
“Kita tidak boleh mengambil risiko sehingga kepentingan domestik dan pertanian terpaksa dikorbankan kerana perjanjian dengan syarikat pusat data,” ujarnya.