SHAH ALAM – Tawaran pakej umrah serendah RM3,800 seorang didakwa menjadi jerat kepada 48 jemaah apabila kemudahan dijanjikan tidak seperti yang diharapkan, termasuk ketiadaan tiket dan visa pada saat akhir.
Pesara berusia 59 tahun mendakwa, beliau mengetuai jemaah terbabit tertarik dengan tawaran harga murah dikemukakan seorang ejen mewakili agensi pelancongan berpusat di Rawang yang menjanjikan tiket penerbangan akan diperoleh dua minggu sebelum tarikh berlepas.
Menurutnya, harga di bawah RM4,000 seorang itu jauh lebih rendah berbanding kadar pasaran biasa yang boleh mencecah lebih RM9,000 bagi pakej lengkap, sekali gus mendorong beliau membawa lebih ramai ahli keluarga menyertai rombongan itu.
“Malam nak berlepas, baru tahu"semuanya" tidak ada,” dakwanya ketika ditemui Sinar Harian di Setia Alam di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, tawaran murah itu menyebabkan ramai yang akan percaya ia peluang terbaik untuk menunaikan umrah, namun hakikatnya pelbagai bayaran tambahan dikenakan kemudian.
“Ada yang sampai sana kena tambah itu dan ini. Harga nampak murah pada awalnya, tetapi bila campur semua kos, jadi lain,” dakwanya.
Mangsa yang membawa ahli keluarga turut mendakwa hanya sebahagian jemaah berjaya berlepas, manakala sebahagian lagi terkandas.
Bagi memastikan ahli keluarga tidak ditinggalkan, beliau terpaksa mendapatkan bantuan kenalan di Muassasah untuk membeli 17 tiket penerbangan baharu dengan kos lebih RM25,000.
“Takkan saya nak tinggalkan ahli keluarga di sana. Saya terpaksa minta tolong belikan tiket dan bayar sendiri lebih RM25,000,” ujarnya.
Beliau mendakwa kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku melibatkan agensi pelancongan berpusat di Rawang itu dan ramai jemaah lain dilaporkan turut terkesan dengan tawaran harga rendah tersebut.
Tegasnya, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pakej umrah yang ditawarkan terlalu murah tanpa penjelasan terperinci mengenai kos sebenar dan kemudahan disediakan.
Terdahulu, pada 8 Februari lalu, beliau turut mendakwa membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tujuan rujukan dan perlindungan diri susulan kejadian itu.
Dalam masa sama, beliau berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara berkenaan supaya bakal jemaah lebih berhati-hati terhadap tawaran pakej umrah yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa.