PEMENANG pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 Lee Zii Jia dijangka mengumumkan keputusan mengenai penyertaan dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala Thomas 2026 dalam tempoh seminggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata beberapa perkara perlu dimuktamadkan terlebih dahulu antara pihak Zii Jia dan badan induk badminton negara itu sebelum sebarang keputusan dapat dicapai.
"Kita telah berbincang dan beliau minta tempoh seminggu untuk berfikir (sertai skuad Piala Thomas). Kami harap Zii Jia boleh menyertai pasukan ini.
"Kami sentiasa mengalu-alukan Zii Jia dalam skuad Piala Thomas kerana saya rasa beliau juga mempunyai pengalaman bermain di kejohanan itu," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Terdahulu Zii Jia bersama jurulatihnya Liew Darren dan perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei mengadakan pertemuan kira-kira satu jam bersama Chong Wei berhubung penyertaan mereka di Kejohanan Piala Thomas dan Uber di Horsens, Denmark April ini.
Dalam pada itu, Chong Wei turut memaklumkan barisan kejurulatihan turut bersetuju untuk memanggil Jin Wei bagi memperkuatkan skuad wanita negara dalam saingan Piala Uber.
Katanya Jin Wei juga belum memberi sebarang keputusan berhubung penyertaannya dan dijangka memberinya selewat-lewatnya minggu hadapan.
"Ini semua adalah keputusan Kenneth Jonassen. Saya hanya menyokong keputusan dan perancangannya untuk pasukan kebangsaan," katanya
Dalam perkembangan sama, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky mengesahkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bersetuju menyertai skuad Piala Thomas di Horsens dari 24 April hingga 3 Mei depan.
Rexy berkata pasangan profesional itu berkemungkinan kekal bersama skuad kebangsaan sehingga ke Sukan Asia 2026.
"Ya, mereka sudah beri jawapan. Bahkan sampai Sukan Asia juga," katanya. - Bernama