TAHUN lalu, kisah bekas pemain kebangsaan Mohammad Gopi Rizqi tular apabila beliau mendedahkan berdepan masalah kewangan susulan gaji tertunggak selama lapan bulan sehingga menarik perhatian pemilik Johor Darul Ta'zim FC (JDT) Tunku Mahkota Ismail.
Situasi itu mendorongnya menjual air balang di depan rumahnya di Kampung Api-Api di sini sepanjang Ramadan bagi menambah pendapatan, sekali gus mencuri perhatian orang ramai dan peminat bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, Ramadan tahun ini menyaksikan keadaan berbeza apabila beliau kembali menjual air balang bukan lagi kerana desakan kewangan, sebaliknya atas permintaan ramai yang mahu melihatnya berniaga semula.
Mohammad Gopi, 37, yang memeluk Islam pada 2019 berkata, ramai rakan dan peminat bertanyakan perkara itu sejak awal Syaaban menerusi media sosial, selain ada yang menyatakan hasrat untuk datang membeli dan bertemunya.
"Alhamdulillah, kali ini saya teruskan kerana permintaan peminat. Ramai yang mesej dan tanya sama ada saya jual lagi tahun ini. Itu yang buat saya rasa bersemangat untuk berniaga semula," katanya.
Mohammad Gopi pernah bermain dengan beberapa pasukan iaitu Pahang dari tahun 2010-2015, Selangor (2016), JDT (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019), Sri Pahang FC (2020) sebelum mengakhiri kariernya bersama Kuala Lumpur Rovers sehingga tahun lalu (2025).
Beliau turut berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.
Mohammad Gopi berkata, pengalaman tahun lalu memberi kenangan tersendiri apabila jualannya pada awalnya sekitar 30 bungkus sehari melonjak kepada lebih 150 bungkus sehari selepas kisahnya mendapat liputan media.
Selain air jagung dan air mata kucing, beliau turut menambah beberapa pilihan lain seperti air sirap bandung cincau dan taufu fa bagi memeriahkan jualan sempena Ramadan tahun ini.
Beliau bersyukur kerana masih mendapat sokongan peminat walaupun tidak lagi beraksi sebagai pemain profesional dan berharap usaha kecilnya itu dapat terus mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.
Kini, beliau mengendalikan Benut Junior FC, sebuah akademi bola sepak yang berpangkalan di Pekan Benut di sini yang memfokuskan kepada pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi dengan menawarkan latihan kepada pemain berusia bawah 13 hingga 15 tahun.
Sesi latihan dijalankan di padang Sekolah Kebangsaan Sri Benut sebagai platform mencungkil serta membentuk potensi pemain muda, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah sekitar Pontian. - Bernama