'Nak potong cantik atau cincang, itu pilihan BN' - Khalid

Iklan
Khalid

SHAH ALAM – “Pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu.”

Demikian perumpamaan digunakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad bagi menggambarkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ungkapan itu pernah diucapkan seorang pegawai ISA ketika beliau ditahan suatu ketika dahulu dan kini dirasakan sesuai bagi menjelaskan situasi semasa hubungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun BN dilayani dengan baik sepanjang kerjasama pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), keputusan untuk meneruskan atau menamatkan kerjasama tetap berada di tangan parti itu," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Khalid berkata, Amanah menghargai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang secara tenang menyatakan rundingan kerusi antara PH dan BN tidak mungkin dilakukan ketika ini kerana keputusan sama ada mahu bersama PH atau bergerak bersendirian masih belum dibuat.

Beliau menyifatkan jawapan Mohamad atau Tok Mat itu sebagai lebih matang dan ikhlas berbanding kenyataan sebelum ini.

Iklan

Dalam masa sama, Khalid berkata, Amanah tetap mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan terletak di tangan BN.

Menurutnya, kerjasama yang diasaskan selepas PRU-15 berjalan dengan baik, penuh tolak ansur dan keikhlasan tanpa unsur khianat atau paksaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Amanah perlu bersiap sedia menghadapi apa juga kemungkinan, termasuk pertandingan dua atau tiga penjuru, sekiranya BN membuat keputusan berbeza.

“Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar menyatakan hakikat,” tambahnya.