SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki Malaysia tidak boleh dihukum berdasarkan sentimen atau dorongan politik disifatkan sebagai nampak baik di atas kertas.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, dalam politik, perkara itu hanya boleh dinilai sendiri oleh rakyat dan berdasarkan rekod pemimpin.
"Jangan bercakap soal prinsip kalau rekod sendiri bercanggah.
"Rakyat bukan lupa. Rakyat bukan pekak. Rakyat simpan semua.
"Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-15), pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka berikrar mahu 'menangkap Azam Baki' jika menang pilihan raya.
"Itu bukan cerita warung. Itu ucapan pentas. Direkod. Disiarkan. Diulang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ibrahim berkata, prinsip seseorang pemimpin tidak seharusnya berubah mengikut kedudukan kuasa dan jawatan.
"Prinsip bukan tukar ikut kerusi. Jangan guna kuasa untuk cuci ayat lama. Jangan guna jawatan untuk padam rakaman sejarah.
"Rakyat hari ini memerhati dengan tajam. Kenyataan lama dan kenyataan baru boleh dibanding dalam beberapa saat sahaja. Zaman orang mudah lupa sudah tamat," katanya.
Terdahulu, media melaporkan isu membabitkan Azam mesti disiasat berlandaskan undang-undang, bukannya digerakkan oleh sentimen atau persepsi semata-mata.
Tegas Anwar, proses itu perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan dibuat terutama membabitkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat dan berkorban tenaga dalam melaksanakan amanah negara.
Mengulas pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bahawa isu rasuah tidak wajar dipolitikkan, Ibrahim berkata, kedua-dua elemen itu saling berkait rapat kerana ia melibatkan amanah dan kuasa mengurus negara.
"Politik bukan pertandingan siapa pandai bercakap. Kalau rasuah tak boleh dibincang dalam politik, itu namanya politik kosong.
"Saya juga ambil maklum pandangan Malaysia Corruption Watch yang mahu institusi seperti SPRM diperkukuh. Saya setuju, tetapi institusi yang kukuh tidak takut pada soalan.
"Jangan jadikan alasan 'pertahan institusi' untuk lari daripada konsistensi. Ketelusan tidak melemahkan institusi. Yang melemahkan ialah sikap pilih bulu atau ketua yang tiada integriti," katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menyifatkan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) lebih tegas dan berperanan aktif memerangi rasuah.
Tambah Ibrahim, dalam Islam, amar makruf nahi mungkar bukanlah kempen bermusim sebaliknya wajib dilaksanakan ketika menjadi pemimpin.
"Putra tidak main dua standard, kalau salah tetap salah, kalau benar tetap benar tidak mengira kawan atau lawan, tidak kira siapa duduk di Putrajaya.
"Saya bercakap secara terbuka kerana ini soal integriti negara dan prinsip pada saya, tidak tunduk kepada jawatan, tidak tunduk kepada kuasa, dan tidak tunduk kepada sesiapa, dulu, kini dan selamanya," katanya.