SHAH ALAM – Sambutan Tahun Baharu Cina lazimnya sinonim dengan hidangan tradisi seperti yee sang dan itik panggang, namun berbeza bagi sebuah keluarga apabila juadah tempatan Pantai Timur menjadi pilihan bagi meraikan perayaan itu.
Menerusi satu perkongsian video di platform TikTok, Dr Tan Mou Leong berkongsi keunikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya di Dungun, Terengganu.
Menurut Profesor Madya dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu, Dungun merupakan kampung halaman ibunya dan menjadi lokasi keluarga berkumpul setiap kali musim perayaan.
"Kami hidangkan makanan seperti nasi dagang, nasi kunyit, tapai, sate dan kari kambing kepada tetamu.
"Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan beragama Islam yang dijemput untuk bersama-sama meraikan Tahun Baru Cina," katanya.
Mou Leong memaklumkan, amalan itu mencerminkan keunikan masyarakat di Terengganu yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati antara kaum.
Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai yang menyifatkannya sebagai gambaran sebenar keunikan Malaysia, apabila kepelbagaian budaya diraikan bersama tanpa mengira latar belakang.
Rata-rata pengguna platform media sosial juga memuji cara Mou Leong menyambut perayaan itu yang membuktikan perpaduan masyarakat mampu diperkukuh melalui perkongsian tradisi dan budaya dalam suasana penuh muhibah.