KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan gergasi Jepun, Vissel Kobe dan mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menggunakan 11 pemain luar negara di atas padang kembali mencetuskan perdebatan lapuk tentang identiti sebuah kelab Malaysia di pentas Asia.
Bagi sesetengah pihak, kejayaan tersebut dianggap kurang mencerminkan kekuatan sebenar bola sepak tempatan.
Mereka berpendapat apabila majoriti pemain di atas padang bukan anak jati, maka kejayaan itu tidak menggambarkan pembangunan bakat domestik dan tidak seharusnya perlu dibanggakan.
Rata-rata mereka juga turut membuat perbandingan Vissel Kobe yang pernah muncul juara Liga J1 itu hanya menggunakan tiga import dan selebihnya menggunakan pemain tempatan dalam perlawanan itu.
Namun, penilaian terhadap isu ini perlu dibuat secara rasional dan berlandaskan realiti persaingan di Asia.
Jurang fizikal, taktikal dan pengalaman antara pemain tempatan dengan pemain dari Jepun atau Korea Selatan bukanlah sesuatu yang boleh dibandingkan secara terus.
Liga di negara-negara tersebut lebih kompetitif, kadar intensiti permainan lebih tinggi dan pendedahan antarabangsa mereka lebih meluas.
Dalam konteks itu, keputusan JDT menggunakan barisan import berkualiti boleh dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan daya saing kekal tinggi di pentas Asia.
Kita juga perlu melihat JDT hari ini beroperasi sebagai kelab profesional bertaraf antarabangsa melalui struktur pengurusan yang sistematik, fasiliti latihan moden, stadium bertaraf dunia dan pendekatan sains sukan yang komprehensif meletakkan mereka sebaris dengan kelab elit Asia.
Normal
Dalam landskap bola sepak global, penggunaan sepenuhnya pemain import bukan perkara luar biasa dengan kelab utama di liga luar negara seperti di Eropah sememangnya menggunakan hampir keseluruhan pemain import dalam kesebelasan utama.
Bagi JDT, strategi itu jelas membuahkan hasil. Kualiti teknikal dan kecerdasan taktikal pemain import membantu mengawal tempo permainan, membaca situasi kritikal serta mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit.
Dalam pertandingan seperti ACLE yang menghukum setiap kesilapan dengan pantas, pengalaman luas di pentas antarabangsa menjadi aset penting dan kemenangan ke atas Vissel Kobe memperlihatkan bahawa pelaburan besar dalam pemain asing dilakukan dengan perancangan rapi untuk menembusi batas domestik.
Namun kebimbangan mengenai ruang untuk anak jati juga wajar diberi perhatian.
Penyokong mahu melihat pemain yang lahir daripada sistem akar umbi negeri sendiri yang memahami budaya dan semangat setempat.
Apabila perlawanan besar didominasi pemain luar, sebahagian penyokong merasakan jurang emosi antara kelab dan komuniti semakin melebar.
Isu ini turut memberi kesan terhadap pembangunan bakat negara. Jika minit permainan pemain tempatan di tahap tertinggi semakin terhad, proses pembelajaran dan kematangan mereka boleh terjejas.
Jurang
Tanpa pendedahan konsisten dalam perlawanan berintensiti tinggi, jurang kualiti antara kelab elit dan skuad negara berpotensi melebar.
Di sinilah dilema sebenar muncul. Sebagai kelab profesional yang membawa nama Malaysia di Asia, JDT dinilai berdasarkan keputusan.
Kegagalan melangkah jauh akan tetap mengundang kritikan. Justeru, pengurusan memilih pendekatan paling kompetitif dengan menurunkan pemain terbaik yang tersedia, tanpa mengira asal-usul.
Oleh itu, kemenangan ke atas Vissel Kobe wajar diraikan sebagai pencapaian besar kelab Malaysia di pentas Asia dan perjalanan seterusnya menentang satu lagi pasukan Jepun, Sanfrecce Hiroshima di pentas 16 terbaik perlu terus diharungi dengan rentak kemenangan oleh JDT.
Namun, dalam masa sama, perbincangan tentang identiti dan pembangunan bakat tidak boleh diketepikan.
Kejayaan jangka pendek perlu disepadukan dengan perancangan jangka panjang. Akademi dan sistem pembangunan bakat mesti terus diperkasa supaya anak jati benar-benar bersedia menyaingi pemain import.
Jika kejayaan di ACLE dapat digabungkan dengan kemunculan lebih ramai pemain tempatan yang kompetitif, model JDT mampu menjadi pemangkin kemajuan bola sepak negara secara menyeluruh.