'Tiada masalah kerjasama dengan Pas, tapi mereka perlu berubah' - Choo Seong

Iklan
Choo Seong ketika program Interviu yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Isnin lalu.

SHAH ALAM - MCA tidak berdepan sebarang masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas susulan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan penyatuan Melayu antara dua parti terbesar (UMNO dan Pas) perlu segera dimulakan di Melaka sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Meskipun memberi bayangan tiada perbincangan dibuat dengan MCA selaku rakan komponen Barisan Nasional (BN) berhubung cadangan sedemikian, Timbalan Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, ia strategi permulaan yang baik dalam konteks permuafakatan orang Melayu bagi berdepan siri pilihan raya, namun perinciannya mesti diperhalusi sebaik mungkin di peringkat kepimpinan parti.

Iklan
Iklan

Cuma bagi MCA, katanya, fokus diutamakan kepada kerusi yang bakal ditandingi dan bagaimana parti boleh menjadi suara serta wadah kepada masyarakat Cina.

Sambil mengulas tentang dinamika politik yang berlaku selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2018, menurut Choo Seong, hakikat bahawa ia sentiasa berubah-ubah memang benar dan dalam konteks nasional, MCA perlu bersikap terbuka serta bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi menjaga kepentingan rakyat.

Iklan

"Bukan kerana kuasa tetapi bagi MCA, ia tentang bagaimana kita dapat membantu dengan lebih berkesan pastinya melalui pembuatan dasar yang memberi faedah kepada semua biarpun parti tidak berada dalam sebahagian proses itu.

"Suka tak suka, kita perlu terlibat. Barangkali ditakdirkan Pas menjadi pilihan majoriti rakyat di negara ini dan mereka memenangi kerusi terbanyak, kita kenalah hormat dan tak boleh menolak.

Iklan

"Tetapi, bagaimana kita nak bekerjasama dalam konteks kepentingan nasional dan rakyat, ini yang perlu difikirkan. MCA tidak hipokrit macam DAP, bahkan saya pernah berbicara dengan pimpinan Pas bahawa MCA tak ada masalah nak bekerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk 'Kami Tak Main Sentimen Macam DAP!' yang dihoskan oleh Haizir Othman dan disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Isnin lalu.

Hujahnya tidak terhenti setakat itu sahaja. Bagi Choo Seong, pemimpin dan ahli Pas mesti cuba memahami sensitiviti orang bukan Islam, lebih-lebih lagi kaum Cina.

Sejujurnya, beliau berpendapat, usaha Pas selama ini menyantuni masyarakat Cina khususnya semasa sambutan perayaan adalah langkah yang cukup proaktif dan bersifat inklusif.

Tambahnya, parti Islam itu juga mesti mempamerkan sikap keterbukaan dalam erti positif terhadap golongan bukan Islam.

"Pas juga perlu lebih memahami perasaan, kalau-kalau ada wujud kegusaran akibat sentimen politik dimainkan musuh politik yang mana mereka pernah bersama-sama dahulu.

"Hari ini mereka perlu menerangkan dan meyakinkan masyarakat bukan Islam bahawa Pas bersifat terbuka. Budaya saling memahami serta hormat-menghormati memerlukan dua pihak (main peranan) secara bersama.

"Kalau anda hormati hak, perasaan dan sensitiviti orang bukan Islam khususnya Cina, saya yakin kaum Cina juga akan hormati sensitiviti kaum Melayu. Inilah bezanya MCA dengan parti yang mungkin hanya retorik memperjuangkan kesaksamaan, tapi hakikatnya tak mengamalkannya," ujar beliau.