WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan ancaman baharu terhadap Iran selepas pusingan kedua rundingan nuklear di Geneva berakhir tanpa kemajuan ketara.
Washington kembali mengugut untuk melancarkan tindakan ketenteraan selepas Teheran dan Moscow mengumumkan latihan ketenteraan bersama di Laut Oman sebagai usaha menangkis sebarang 'tindakan unilateral' di rantau Asia Barat.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, pada Rabu berkata Iran perlu bijak membuat keputusan untuk memeterai perjanjian bersama Presiden Donald Trump.
"Masih terdapat percanggahan dalam beberapa isu," ujarnya.
Sementara itu, Trump menerusi platform Truth Social sekali lagi melancarkan perang retorik terhadap Iran.
"Sekiranya Teheran enggan membuat perjanjian, AS mungkin perlu menggunakan pangkalan udara di Lautan Hindi di Kepulauan Chagos untuk menghalang sebarang serangan berpotensi yang dilancarkan Iran," katanya.
Ketika situasi kian tegang, Wall Street Journal melaporkan Trump mempertimbangkan serangan yang menyasarkan kepimpinan Iran di bawah rancangan untuk menukar pentadbiran teokratik di negara itu.
"Beliau masih belum membuat keputusan muktamad. Presiden sudah menerima beberapa taklimat tentang serangan udara untuk membunuh pemimpin politik dan tentera Teheran. Matlamatnya jelas untuk menggulingkan pemerintahan yang diterajui Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
"Fokus lain operasi itu ialah kemudahan nuklear dan peluru berpandu," jelas laporan itu lagi.
CBS News memetik sumber rapat yang mendakwa tentera AS bersedia untuk menyerang Iran seawal Sabtu ini. - Agensi