SHAH ALAM - Pentadbiran Kuala Lumpur (KL) memerlukan reformasi dengan melaksanakan pelantikan ahli majlis sebagai permulaan sebelum memperkenalkan pilihan raya kerajaan tempatan.
Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform dalam kenyataan berkata, ketetapan tersebut merupakan intipati utama forum awam 'Datuk Bandar KL: Sudah Tiba Masanya Dipilih?' yang berlangsung pada 5 Februari lalu, melibatkan beberapa ahli Parlimen, wakil masyarakat sivil, pemimpin komuniti serta orang awam.
"Forum tersebut menyediakan ruang untuk menilai kemajuan Kuala Lumpur sebagai ibu negara di samping meneliti jurang yang masih wujud dalam sistem pentadbirannya.
"Pada masa ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik. Walaupun kaedah ini menawarkan kesinambungan, ramai penceramah berpendapat bahawa sebuah bandar raya moden dan bertaraf dunia perlu mencerminkan ketelusan, akauntabiliti serta penyertaan rakyat.
"Penduduk menyumbang melalui pembayaran cukai, pematuhan kepada peraturan dan tanggungjawab sivik harian, namun mereka tidak mempunyai suara secara langsung dalam menentukan siapa yang menerajui pentadbiran bandar raya," katanya pada Khamis.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu memaklumkan antara ahli Parlimen yang terlibat dalam forum berkenaan ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teresa Kok (Seputeh), bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta wakil Parti Sosialis Malaysia, Geetha Anbalagan.
Menurutnya, Nik Nazmi berkongsi kepentingan meneruskan kajian dan wacana awam mengenai pemilihan Datuk Bandar sebagai sebahagian daripada reformasi tadbir urus bandar yang lebih menyeluruh, manakala Teresa mahu penduduk Kuala Lumpur mempunyai suara secara langsung dalam memilih pemimpin.
Selain itu, Nor Hisham berkongsi pandangan pentadbiran mengenai keterbatasan jawatan Datuk Bandar KL dan menekankan keperluan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.
"Berdasarkan pandangan daripada semua panel semasa forum itu berlangsung, CSO Platform for Reform mengiktiraf bahawa pilihan raya kerajaan tempatan kekal sebagai aspirasi yang penting dan sah.
"Memandangkan pelaksanaan pilihan raya tempatan secara menyeluruh memerlukan reformasi undang-undang yang luas, cadangan memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar khusus bagi Kuala Lumpur telah dibincangkan sebagai langkah pertama yang praktikal dan berperingkat," katanya.