SHAH ALAM - Penerimaan masyarakat Cina terhadap MCA dilihat semakin positif berbanding siri pilihan raya sebelum ini dan tidak mustahil majoriti daripadanya bersedia untuk memberikan sokongan serta undi dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong mendakwa, semakin ramai pengundi dalam kalangan tersebut menyatakan kekesalan mereka terhadap gimik politik dan janji-janji yang pernah dibawa oleh DAP.
Bagaimanapun katanya, MCA menyedari hakikat bahawa jika masyarakat Cina tidak lagi menyokong DAP, belum tentu sokongan itu akan beralih secara automatik kepada partinya, melainkan MCA tampil dengan strategi yang lebih bernas, misalnya memperkenalkan lebih ramai wajah baharu.
“MCA perlu menampilkan lebih ramai muka baharu (pemimpin muda) yang boleh mewakili dan memahami aspirasi masyarakat serta memenuhi keperluan masa kini.
“Dalam masa yang sama, mereka perlu dibimbing, dibantu dan disokong oleh kepimpinan sedia ada. Itu yang saya fikir amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk ‘Kami Tak Main Sentimen Macam DAP!’ yang dihoskan oleh Haizir Othman dan disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Ketika ditanya tentang kebarangkalian Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Choo Seong mempunyai pandangan tegas mewakili parti yang berusia 77 tahun itu.
Jelasnya, MCA mengulangi pendirian yang sama iaitu bersedia menarik diri daripada komponen BN dan bertanding secara solo dalam siri pilihan raya seterusnya.
Hal ini kerana menurutnya, akar umbi dan pimpinan telah menyatakan pendirian yang tegas serta jelas dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA pada Disember tahun lalu bahawa sekiranya direalisasikan, MCA perlu bersedia berdiri di atas kaki sendiri tanpa dibayangi mana-mana pihak.
Dakwanya, mustahil MCA bekerjasama dengan DAP kerana parti itu tidak lagi dilihat mewakili kepentingan rakyat di negara ini, khususnya masyarakat Cina.
“Atas dasar itu, kita perlu ada semak dan imbang serta alternatif untuk memperjuangkan kepentingan rakyat secara keseluruhan, bukan orang Cina sahaja.
“Fokus tentang bagaimana mahu mengekalkan konteks keharmonian kerana jika dilihat sekarang, DAP bukan sahaja gagal mewakili kepentingan masyarakat Cina, pada masa yang sama mereka sering menimbulkan ketidakharmonian antara kaum. ‘Trying too hard to please people’.
“Seperti pepatah Melayu menyebut, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Keadaan DAP terdesak sekarang ini, disebabkan itulah pelbagai sentimen cuba mereka timbulkan,” ujarnya.
Justeru, Choo Seong berpendapat bahawa MCA mesti fokus kepada tujuan utama parti dan tidak menjadi oportunis dalam politik, iaitu golongan yang gemar mengambil kesempatan.
“MCA mesti bersifat lebih matang kerana kita tahu kita lebih baik daripada parti mereka. Namun, MCA memerlukan masa untuk membuktikan bahawa kita mendapat sokongan rakyat.
“Dengan adanya sokongan rakyat dan mempunyai lebih ramai wakil rakyat yang dipilih nanti, kita ada ruang untuk membuktikan bahawa MCA adalah lebih baik,” jelasnya lagi.