MISC tembusi pasaran Papua New Guinea

Iklan
Kumpulan MISC mengumumkan kemasukan sulungnya ke Papua New Guinea menerusi pemerolehan kontrak Carter Kapal Kosong serta kontrak O&M jangka panjang daripada EMPNG. Gambar kecil: Zahid

KUALA LUMPUR – Kumpulan MISC mengumumkan kemasukan sulungnya ke Papua New Guinea menerusi pemerolehan kontrak Carter Kapal Kosong serta kontrak Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) jangka panjang daripada ExxonMobil PNG Limited (EMPNG).

EMPNG ialah anak syarikat kepada Exxon Mobil Corporation dan merupakan pengendali Projek PNG LNG. Kontrak tersebut melibatkan sebuah unit baharu Penyimpanan dan Pemunggahan Terapung (Floating Storage and Offloading, FSO).

Iklan
Iklan

Perjanjian itu merangkumi tempoh pajakan tetap selama 15 tahun, dengan pilihan lanjutan sehingga tambahan 15 tahun lagi. Tempoh jangka panjang ini dijangka menyumbang aliran hasil yang stabil dan kukuh kepada Kumpulan MISC.

Langkah berkenaan selari dengan strategi Delivering Progress MISC di bawah teras “Resilient Core”, yang memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan mampan dan berkualiti, di samping memperkukuh daya tahan portfolio kumpulan untuk jangka masa panjang.

Iklan

FSO tersebut bakal menjadi kemudahan terapung luar pesisir pertama di Papua New Guinea. Ia akan ditempatkan di Terminal Marin Kumul sebagai sebahagian daripada Sistem Saluran Paip Kutubu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, FSO itu akan memainkan peranan penting dalam aktiviti penyimpanan dan pemunggahan hidrokarbon cecair, termasuk minyak mentah dan kondensat yang dihasilkan daripada pelbagai lapangan minyak. Gas berkaitan pula akan disalurkan ke Projek PNG LNG untuk diproses.

Iklan

Menurut beliau, pemerolehan FSO pertama di Papua New Guinea ini merupakan pencapaian penting bagi MISC dan menandakan fasa baharu dalam kerjasama jangka panjang dengan ExxonMobil. Kerjasama tersebut telah terjalin selama bertahun-tahun dalam segmen perkapalan dan kini diperluaskan ke segmen luar pesisir.

Beliau berkata, selepas kemasukan strategik ke Brunei menerusi projek Kelidang FPU, langkah ke Papua New Guinea membuktikan usaha berterusan MISC untuk meneroka pasaran baharu.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong rakan kongsi serta negara tuan rumah untuk menjana nilai sumber secara bertanggungjawab demi pembangunan jangka panjang.

“Ia bukan sekadar kontrak komersial, tetapi asas kepada hubungan jangka panjang dan pembangunan infrastruktur tenaga yang mampan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, MISC memaklumkan bahawa Projek PNG LNG ialah loji pengeluaran gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti melebihi 8.3 juta tan metrik setahun.

Projek tersebut dikendalikan oleh EMPNG yang memegang kepentingan penyertaan sebanyak 33.2 peratus. Rakan kongsi lain termasuk Santos Limited (39.9 peratus), ENEOS Xplora Inc. (4.7 peratus), Kumul Petroleum Holdings Limited (19.4 peratus) dan Mineral Resources Development Company Limited (2.8 peratus).

FSO berkenaan akan direka dengan jangka hayat operasi selama 30 tahun dan kapasiti simpanan minimum sebanyak 800,000 tong. Ia dijadual memulakan operasi pada separuh pertama tahun 2028.

Spesifikasi FSO itu turut merangkumi keupayaan untuk mengendalikan kondensat bagi projek masa hadapan. Ini memastikan aset tersebut kekal relevan dalam landskap tenaga Papua New Guinea untuk tempoh yang panjang.

Kerjasama ini bukan sahaja memperluas portfolio luar pesisir MISC, malah mengukuhkan peranannya dalam menyokong pembangunan projek tenaga utama di rantau berkenaan.

Projek tersebut akan dilaksanakan dengan memanfaatkan keupayaan bersepadu kumpulan, termasuk kepakaran kejuruteraan dan pembinaan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB), iaitu cabang penyedia pembinaan kejuruteraan berat serta perkhidmatan pembaikan marin di bawah MISC.