SEMALAM negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati membabitkan satu keluarga lima beranak yang ditemukan maut disyaki dibunuh di Taman Cerating Damai, Kuantan.
Ia melibatkan seorang lelaki yang dipercayai membunuh isteri, ibu dan dua anaknya sebelum bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.
Insiden itu secara tidak langsung membuka ruang perbincangan serius mengenai tekanan mental dan beban kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan masyarakat.
Malah laporan media menyebut, siasatan awal polis mendapati motif kejadian berkemungkinan disebabkan oleh faktor kewangan.
Ia sekali gus menonjolkan realiti pahit yang dihadapi sebahagian masyarakat ketika berdepan kos sara hidup tinggi.
Menjelang Ramadan dan seterusnya perayaan Aidilfitri, tekanan kewangan lazimnya meningkat kerana melibatkan keperluan membeli barangan untuk persiapan, pakaian baharu, kos perjalanan pulang ke kampung serta komitmen sosial yang menambah beban sedia ada.
Bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, keadaan ini boleh mencetuskan tekanan berganda, lebih-lebih lagi jika berdepan hutang, kehilangan pekerjaan atau pendapatan tidak menentu.
Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan kewangan, malah boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan hubungan kekeluargaan.
Apabila tekanan kewangan tidak ditangani dengan baik, ia berpotensi berkembang menjadi tekanan mental serius seperti kemurungan, keresahan melampau dan hilang kawalan emosi.
Dalam kes ekstrem, individu yang tertekan mungkin bertindak di luar jangkaan, terutama apabila mereka merasakan tiada jalan keluar daripada masalah dihadapi.
Apa yang lebih membimbangkan, tanda-tanda awal seperti perubahan tingkah laku, tekanan emosi atau masalah komunikasi dalam keluarga sering tidak disedari atau dipandang ringan.
Budaya memendam perasaan dan stigma terhadap isu kesihatan mental turut menyebabkan ramai memilih untuk berdiam diri berbanding mendapatkan bantuan.
Tragedi yang berlaku turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap pembunuhan tragis berkenaan.
Baginda bertitah, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan amat mengejutkan khususnya apabila ia melibatkan sebuah keluarga.
Baginda turut menyeru rakyat supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka serta tidak memandang ringan sebarang tanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.
Tragedi ini menjadi peringatan bahawa isu kewangan dan kesihatan mental tidak boleh dilihat secara terpisah.
Ketika masyarakat bersiap menyambut musim perayaan yang sepatutnya penuh kegembiraan, realitinya masih ada yang bergelut dalam diam.
Tragedi ini bukan sekadar kes jenayah, tetapi cerminan tekanan hidup yang semakin kompleks, menjadikan satu isyarat jelas bahawa kesejahteraan mental dan kestabilan kewangan rakyat perlu diberi perhatian sebelum lebih banyak nyawa menjadi taruhan.