SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan ketandusan pemimpin, meskipun berdepan dengan kemelut dalaman melibatkan kumpulan tertentu sehingga ada bahagian yang dibubarkan ketika ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ini kerana setiap bahagian terkesan akibat tindakan penyokong kumpulan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu mempunyai barisan pelapis yang mampu mengambil alih tanggungjawab dan meneruskan perjuangan parti.
“Insya-ALLAH, bagi setiap bahagian yang bermasalah, akan ada pemimpin lain yang tampil ke hadapan. Parti ini tidak ketandusan pemimpin. Jika tiada ketua bahagian, masih ada timbalan ketua bahagian.
"Jika tiada, masih ada naib ketua bahagian dan ahli jawatankuasa yang boleh menggalas tanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dilaporkan ketika ini lebih 20 bahagian Bersatu dibubarkan susulan krisis yang melanda parti berkenaan.
Krisis dalaman parti yang diterajui Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin kian panas selepas Bersatu mengumumkan pemecatan Hamzah dan beberapa pimpinan lain.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil menafikan dakwaan ada beberapa bahagian parti itu terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasanya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, serta bercanggah dengan peraturan dan perlembagaan parti.
Sementara itu,menerusi hantaran panjang lebar di media sosialnya, Tun Faisal menegaskan, ketiadaan individu yang didakwa menjadi punca perpecahan dalaman akan membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin sedia ada untuk tampil memperkukuh organisasi parti di peringkat akar umbi.
Tambahnya, situasi tersebut juga memberi peluang kepada tokoh baharu sama ada dari dalam mahupun luar parti untuk bersama-sama memperjuangkan agenda Bersatu.
"Selagi duri dalam daging ada, selagi ada api dalam sekam, agak sukar untuk kita ke hadapan. Alhamdulillah, golongan jahat dan khianat ini sudah tiada.