MELAKA - Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bergantung kepada kelemahan atau masalah dalaman parti lain sebagai sandaran utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengarah Strategi PKR Melaka, Mohd Radzmin Roslan berkata, walaupun situasi melanda parti lawan mungkin memberi sedikit kelebihan dari segi persepsi dan sokongan, kejayaan sebenar tetap bergantung kepada kekuatan dalaman parti serta keupayaan menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.
"Perpecahan atau masalah pihak lain mungkin memberi sedikit impak, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada perkara itu. Asas kekuatan kita adalah kerja di lapangan dan kesatuan dalam parti.
"Jadi kita perlu turun padang, dengar suara akar umbi dan fahami kehendak rakyat. Daripada itu, kita bina keyakinan untuk peroleh undi,” katanya kepada media pada Majlis Apresiasi Bersama Media Melaka di Klebang di sini pada Rabu.
Beliau berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti komponen PH, memperkemas jentera pilihan raya serta memastikan rundingan kerusi dilaksanakan secara matang dan berhemah di peringkat pucuk pimpinan.
Mengulas strategi kempen, Mohd Radzmin yang juga Setiausaha Cabang PKR Tangga Batu berkata, PH akan memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan isu rakyat, khususnya melibatkan kos sara hidup, peluang pekerjaan serta kebajikan komuniti setempat.
Selain itu, katanya pengundi muda dan pengundi atas pagar dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran utama dalam strategi menghadapi PRN dan PRU akan datang.
"Pengundi muda termasuk kelompok Undi 18, adalah segmen penting. Kita perlu dekati mereka dengan pendekatan lebih segar dan mesej jelas. Begitu juga pengundi atas pagar yang menilai berdasarkan prestasi dan keikhlasan kita bekerja,” katanya.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan berakhir pada Disember 2026. - Bernama