IPOH – Ketika kanak-kanak lain bersedia menyambut Ramadan yang akan bermula pada Khamis, kira-kira 20 anak yatim dan asnaf di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi di sini berdepan dugaan besar apabila pusat jagaan itu dilanda banjir pada Isnin alu.
Warden pusat jagaan berkenaan, Azad Ashraf Mohd Said berkata, ketika kejadian semua penghuni berada di dalam kawasan asrama apabila hujan lebat berterusan menyebabkan air naik mendadak dalam tempoh kira-kira 15 minit.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik, kelengkapan asrama serta sebahagian keperluan penghuni pusat jagaan tersebut.
"Semasa kejadian semua anak-anak ada di asrama. Hujan memang sangat lebat dan dalam lebih kurang 15 minit, air terus naik. Memang tak sempat nak selamatkan apa-apa.
"Peti ais, chiller, mesin basuh dan barang elektrik memang habis rosak. Barangan sejuk beku pun tak tahu nak letak di mana tambahan pula esok (Khamis) nak puasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Azad Ashraf berkata, pusat jagaan yang telah beroperasi lebih 15 tahun itu menempatkan 20 penghuni berusia antara lima hingga 17 tahun.
Katanya, kejadian banjir kali ini disifatkan antara yang terburuk pernah dialami selepas banjir besar pada 2008.
Menurutnya, selain peralatan elektrik, pakaian anak-anak dan sebahagian buku sekolah turut rosak akibat ditenggelami air.
"Ada buku teks yang boleh diselamatkan, kita keringkan. Tapi ada yang bila angkat sahaja terus relai.
"Kita harap pihak sekolah dan guru-guru dapat memahami keadaan anak-anak ini," katanya.
Menurutnya, semasa kejadian sebahagian staf sudah pulang manakala yang lain masih berada di premis berkenaan kerana waktu sudah melepasi jam 6 petang.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Negeri Perak, Nazlyn Noorain Mohd Said berkata, ketika ini bantuan amat diperlukan terutama keperluan anak-anak melibatkan peralatan asrama serta kemudahan lain.
Menurutnya, hampir kesemua barang-barang di setiap ruang dan bilik di pusat jagaan tersebut rosak dan tidak dapat diselamatkan terutama perabot dan peralatan elektrik melibatkan
"Kita amat mengalu-alukan sumbangan sama ada wang ringgit atau barang-barang seperti tikar getah, perabot dan sebagainya. Pakaian dan keperluan sekolah anak-anak ini juga ada yang terendam banjir.
"Saya harap ada pihak yang sudi membantu kami meringankan beban pusat jagaan ini," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan terus ke akaun Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Negeri Perak bernombor 558220601061 (Maybank) dan sebarang maklumat lanjut boleh berhubung di talian 016-5460071.