Jasad bomba lemas di Pantai Kandis ditemukan

Iklan
Jenazah Allahyarham Badrul Naim dibawa menggunakan kenderaan polis ke hospital.

Ditemui orang awam sejauh tiga kilometer dari lokasi kejadian

BACHOK – Jasad anggota bomba yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis, di sini, ditemukan tengah hari Rabu.

Mangsa, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pulau Pinang, ditemukan terdampar di pantai kira-kira jam 12.15 tengah hari pada jarak tiga kilometer dari lokasi beliau dipercayai hilang.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali, berkata mayat mangsa ditemukan orang awam sebelum dibawa ke Pos Operasi Bomba (POB).

Allahyarham Badrul Naim

Iklan

“Mangsa dicam sebagai Ahmad Badrul Naim dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bachok.

“Adik lelaki mangsa berusia 21 tahun yang dikhuatiri lemas masih hilang,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa, Ahmad Badrul Naim cuba menyelamatkan adiknya, Ahmad Nuruddin, 21, yang dilihat terkapai-kapai namun kedua-duanya ditelan ombak.

Anak saudara mereka, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, yang terbabit dalam kejadian sama, berjaya diselamatkan bapanya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang terjun ke laut.

Ahmad Ridhuan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua pada Rabu digerakkan secara besar-besaran membabitkan 26 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Mangsa yang ditemukan ketika operasi pencarian.

“Selain itu, terdapat bantuan 24 anggota daripada agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Operasi mengesan Ahmad Nuruddin diteruskan dengan pencarian di sepanjang pesisir pantai sejauh 10 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, keadaan laut dilaporkan bergelora dengan ombak setinggi kira-kira satu meter dan fenomena air pasang besar menyukarkan operasi pencarian termasuk penggunaan bot penyelamat pada waktu malam.

Kesemua yang terlibat hadir dalam perkelahan keluarga di pantai itu yang dihadiri kira-kira 20 orang sebelum tragedi berlaku.