SELANGOR FC menuntut penjelasan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan pada aksi Suku Akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC, Sabtu lalu.
Kenyataan rasmi kelab itu memaklumkan, pihak kelab mengambil maklum mengenai beberapa gambar insiden perlawanan itu yang sedang tular di media sosial, selain desakan daripada pemegang taruh bola sepak Selangor yang mahukan maklum balas segera.
Menurut Selangor FC, satu penilaian penuh secara dalaman telah dilakukan dan permohonan rasmi telah diajukan kepada badan induk bola sepak negara itu menerusi saluran yang ditetapkan.
"Untuk makluman penyokong, pihak kelab sentiasa menggunakan saluran rasmi yang diperuntukkan oleh pihak FAM bagi memohon penjelasan berkenaan keputusan-keputusan pengadil dalam perlawanan terdahulu.
"Justeru, pihak kelab telah memohon penjelasan daripada pihak FAM mengenai beberapa keputusan pengadil, khususnya membabitkan dua jaringan gol yang telah dibatalkan dalam perlawanan tersebut," menurut kenyataan itu.
Skuad Gergasi Merah itu turut menaruh kepercayaan bahawa FAM akan memandang serius isu berkenaan dan melakukan penilaian semula terhadap keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan.
Tegas kenyataan itu lagi, tindakan bersesuaian wajar diambil sekiranya FAM mendapati wujud sebarang kesilapan dalam pengadilan aksi suku akhir berkenaan.
"Selangor FC berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menghormati proses yang disediakan oleh pihak FAM berkenaan dengan perkara ini," ujar kenyataan itu lagi.