PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino kini berdepan tekanan hebat selepas badan induk bola sepak dunia itu akhirnya bersetuju mendedahkan dokumen dalaman sulit susulan desakan keras Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Keputusan itu dibuat selepas UEFA mengeluarkan kata dua atau ultimatum berhubung kontroversi projek FIFA Forward Enterprise (FFE) yang sebelum ini mencetuskan polemik susulan cadangan menjual pegangan hak berkaitan Piala Dunia kepada pelabur swasta.
Badan induk bola sepak Eropah itu sebelum ini menetapkan tarikh akhir pada 2 November untuk FIFA memberikan penjelasan terperinci mengenai aspek tadbir urus serta proses membuat keputusan yang membawa kepada cadangan kontroversi berkenaan.
Infantino sebelum ini sudah menyampaikan permohonan maaf secara rasmi berhubung kegagalan projek itu dalam mesyuarat Majlis FIFA.
Bagaimanapun, keengganannya memberikan penjelasan terperinci menyebabkan beberapa persatuan anggota tidak berpuas hati terutama apabila beliau meminta segala pertanyaan dikemukakan secara bertulis.
Tekanan UEFA akhirnya mendorong kepimpinan FIFA mengambil langkah meredakan ketegangan apabila Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom menerusi surat yang dihantar beberapa jam sebelum tamat tempoh ultimatum memaklumkan dokumen berkenaan boleh diteliti anggota majlis.
Bagaimanapun, akses terhadap dokumen itu hadir dengan beberapa syarat apabila FIFA tidak akan mengedarkannya secara digital.
Sebaliknya, anggota majlis perlu hadir sendiri ke ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland untuk meneliti dokumen berkenaan mengikut prosedur kerahsiaan yang ketat.
Mereka turut diberikan tempoh dua minggu untuk menyatakan hasrat mendapatkan akses tersebut, menurut laporan BBC Sport.
FIFA mempertahankan langkah itu dengan alasan perlu mematuhi obligasi undang-undang serta melindungi maklumat sensitif.
Badan induk itu juga dilaporkan menganggap permintaan UEFA supaya lebih 100 soalan dijawab dalam tempoh dua minggu sebagai sesuatu yang sukar dilaksanakan, selain berdepan tuntutan undang-undang yang masih berjalan di Amerika Syarikat.
Kontroversi FFE turut menjadi sebahagian daripada beberapa isu lain yang dibangkitkan UEFA termasuk keputusan memberikan anugerah sulung FIFA Peace Prize kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta pengendalian kes penggantungan pemain, Folarin Balogun.
Dalam surat berkenaan, UEFA menegaskan penarikan semula projek FFE, pengakuan kesilapan dan pengumuman kemungkinan reformasi tadbir urus masih belum menjawab persoalan utama mengenai bagaimana keputusan dibuat serta mengapa Majlis FIFA tidak dilibatkan pada peringkat sewajarnya.